Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda $5,000 terhadap seorang lelaki tempatan kerana memiliki minuman keras seludup.
Muhammad Asrimin bin Haji Alim, 29, berdepan penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid dimaklumkan oleh Pegawai Pendakwa Kastam Haji Mohamad Junaidi Haji Ahmad bahawa defendan dihentikan ketika sekatan jalan raya di Jalan Utama Terunjing pada awal petang 4 April 2020 apabila pada masa yang sama, pihak polis menerima maklumat bahawa defendan menyimpan minuman keras di rumahnya.
Pihak polis kemudian mengiringi defendan ke rumahnya di Kampung Perpindahan Lambak Kanan. Siasatan mendapati bahawa defendan menyimpan 117 tin bir di rumahnya dan Mahkamah telah mengarahkan supaya barangan yang dirampas diserahkan kepada kerajaan.