Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Seorang warga Indonesia berusia 29 tahun diperintahkan membayar denda $10,000 selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memiliki barangan seludup.
Saiful Vristanto perlu menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Dia ditemui oleh pegawai pencegahan kastam memiliki sembilan paket rokok dan alat vape di sebuah rumah di Kampung Mumong, sebelum tengah malam pada 28 Mac.
Pegawai kemudian menemui 11 lagi paket rokok yang disimpan oleh defendan di sebuah rumah di Jalan Kerma Negara, Kuala Belait, menurut pendakwa kastam. Pegawai kastam mengesahkan barangan seludup berkenaan.
Pemangku Majistret Kanan, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mengeluarkan perintah pelucutan hak ke atas semua barang yang disita. Mahkamah turut memberi arahan supaya barangan tersebut dilupuskan.