Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Seorang lelaki warga tempatan berusia 34 telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan serta tiga kali sebatan, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memiliki dua senapang buatan sendiri di rumah tanpa lesen.
Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mengemukakan 10 saksi dalam membuktikan kes terhadap Norfazilah bin Abdul Rahman di luar keraguan munasabah mahkamah.
Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman tidak menemui sebarang ‘penjelasan munasabah’ bagi memiliki senapang dalam pembelaan Norfazilah sepanjang perbicaraan.
Keterangan yang membawa kepada keputusan mahkamah mendedahkan defendan ditahan di kediamannya di Jalan Kecil Birau, Tutong.
Ia adalah susulan serbuan yang dilakukan oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik pada pagi 11 Januari 2021.
Para pegawai menemui selaras senapang buatan sendiri dari kereta yang diletakkan di perkarangan rumah serta bahagian-bahagian yang membentuk satu lagi senapang buatan sendiri ditemui dalam peti sejuk di belakang rumah.
Kes itu telah dibawa ke Balai Polis Lamunin, yang mana siasatan seterusnya membawa kepada pendakwaan terhadap Norfazilah.


