Oleh Sim Y.H. –

BELAIT, 20 OKT – Seorang wanita warga tempatan, Majidah Nadirah binti Haji Ismail telah didakwa di hadapan Majistret Nur Eleana binti Dato Paduka Haji Hairol Arni di Mahkamah Majistret Kuala Belait, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, tertuduh didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006 iaitu memiliki 316 unit vape pod pelbagai jenis dan lima botol vape juice pelbagai jenis tanpa kebenaran yang sah.
Kenyataan menyatakan tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak $40,000 atau 14 bulan pemenjaraan jika gagal menjelaskan keseluruhan denda berkenaan.
Semua barang-barang yang terlibat iaitu vape pod dan vape juice dirampas untuk diserahkan kepada kerajaan bagi tujuan pelupusan.
Tertuduh telah ditahan oleh pegawai-pegawai pemeriksa kastam di Pos Kawalan Sungai Tujoh, Kuala Belait pada 31 Januari 2024, pukul 12:04 tengah hari serta didakwa oleh pegawai pendakwa JKED.


