Militan berkaitan IS bunuh empat petani Indonesia

PALU, INDONESIA, 12 MEI – Kumpulan pelampau yang berkaitan dengan Islamic State (IS) telah membunuh empat petani di kampung terpencil di pulau Sulawesi, Indonesia, polis mengesahkan hari ini, dengan salah seorang mangsa dilaporkan telah dipancung kepalanya.

Lima penyerang bersenjatakan pedang menyerbu sekumpulan petani yang sedang menuai tanaman kopi mereka di kampung Kalimagi di keregenan Poso kelmarin pagi, kata jurucakap polis Sulawesi Tengah, Didik Supranoto.

Polis menyalahkan serangan ke atas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) berpangkalan di Sulawesi, salah satu daripada puluhan kumpulan radikal di seluruh kepulauan Asia Tenggara itu yang berikrar taat setia kepada IS.

“Lima saksi mengenal pasti seorang dalangnya sebagai (seorang lelaki dinamakan) Qatar, yang merupakan anggota MIT,” kata jurucakap polis. Penduduk tempatan mengenali anggota-anggota MIT menerusi gambar-gambar mereka, yang diedarkan oleh polis dalam pemburuan mereka bagi suspek pengganas di kawasan itu.

Serangan tersebut dikatakan bermotifkan ‘pengganasan serta rompakan’, menurut polis.

“Segala yang dimiliki mangsa telah dirampas oleh dalangnya termasuk beras, wang dan barangan yang disimpan dalam pondok mereka,” tambahnya. – AFP