BANJARMASIN, INDONESIA, 1 JUN – Seorang militan telah membunuh anggota polis Indonesia menggunakan pedang dan mencederakan anggota yang lain hari ini dalam apa yang pihak berkuasa sifatkan sebagai serangan yang disyaki berkaitan kumpulan Islamic State (IS).
Penyerang ditembak mati semasa serbuan awal pagi di pos polis daerah Kalimantan Selatan Daha – sebuah kawasan di kepulauan Borneo, Indonesia.
Polis kerajaan Indonesia pada awalnya berkata terdapat dua penyerang, namun pihak berkuasa tempatan kemudian berkata hanya seorang militan sahaja yang terlibat secara langsung.
“Seorang pegawai polis terbunuh dan penyerang itu juga mati,” kata ketua polis Sungai Selatan Hulu, Dedy Eka Jaya kepada AFP.
“Kami masih lagi menyiasat kemungkinan kaitannya dengan IS,” tambahnya.
Militan itu – dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 19 tahun, Abdurrahman – pada awalnya mencetuskan kebakaran pada sebuah kereta di pos polis, kata Jaya.
“Apabila ia meletup, seorang pegawai keluar untuk memeriksa dan disitulah terjadinya serangan awal,” tambahnya. – AFP