BEIRUT, 30 Jan – Para militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk menawan lebih dua dozen bandar dan kampung di Utara Syria dari para pemberontak saingan mereka awal bulan ini, berkembang dan mengukuhkan penguasaan mereka ke atas kawasan yang saiznya seperti saiz negara jiran, Lubnan.
Kemaraan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), atau Jawatankuasa Pembebasan Levant adalah satu tamparan paling serius terhadap gencatan senjata bulan September yang mana Rusia dan Turki menjadi pihak perantara yang mengalihkan serangan besar kerajaan di wilayah Idlib, kubu kuat utama terakhir pihak pembangkang Syria.
Ia menekankan ancaman meningkat yang diperlihatkan oleh Al-Qaeda pada ketika apabila saingannya, kumpulan Islamic State (IS) hampir ditumpaskan dan AS sedang dalam persiapan mengundurkan 2,000 anggota tentera dari Syria.
Meskipun HTS telah secara rasmi memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda, pakar-pakar mengatakan ia masih berhubung rapat dengan rangkaian sejagat yang diasaskan oleh Osama bin Laden dan boleh menggunakan pangkalannya di Syria untuk melancarkan serangan di Barat.
Fawaz Gerges, profesor politik Timur Tengah di London School of Economics berkata wujud ‘bahaya sebenar’ bahawa kemaraan kumpulan itu ‘bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan bagi tiga juta penduduk di sini, bahkan juga mewajarkan Presiden Bashar Assad dan sekutu-sekutu untuk menyerang wilayah itu.
“Senario seumpama itu adalah pertumpahan darah yang memusnahkan seperti pertempuran Aleppo,” ujarnya, merujuk kepada pertempuran sengit ke atas bandar terbesar Syria dalam tahun 2016, yang mengorbankan beribu-ribu orang dan berakhir dengan pasukan kerajaan dan sekutunya menawan kawasan timur yang dikuasai pihak pemberontak. – AP
