MOGADISHU, 31 DIS – Kumpulan pengganas al-Shabaab semalam mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom trak Sabtu lepas di Somalia yang meragut 80 nyawa, termasuk dua rakyat Turki, dan mencederakan lebih 150 orang.
Agensi berita Anadolu melaporkan bahawa beberapa jam sebelum pengumuman kumpulan itu, Agensi Perisikan dan Keselamatan Negara Somalia (NISA) menyatakan di Twitter bahawa mereka telah mendapat petunjuk bahawa sebuah kerajaan asing menjadi dalang di sebalik serangan itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Dalam rakaman audio berdurasi 24 minit yang disiarkan menerusi radio propaganda al-Shabaab, kumpulan pengganas yang bersekutu dengan al-Qaeda dan berpangkalan di Somalia itu mendakwa bahawa mereka menyasarkan satu konvoi Turki di sebuah persimpangan di pinggir ibu kota Mogadishu.
Ali Mohamud Rage, juga dikenali sebagai Ali Dhere, yang merupakan jurucakap kumpulan itu berkata mereka telah melancarkan serangan terhadap apa yang mereka gelar sebagai “penceroboh Turki dan pengawal peribadi mereka dan kami telah membunuh kebanyakan daripada mereka.” – Bernama