JEREZ DE LA FRONTERA, 3 MEI – Pemandu kelahiran Australia, Jack Miller mencatat kemenangan kedua di MotoGP Sepanyol kelmarin ketika rakan sepasukannya di Ducati, Francesco Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk berada di kedudukan teratas secara keseluruhan kejohanan.
Miller, yang menjalani pembedahan awal April lalu, berada di hadapan apabila pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo, mula hilang rentak semasa pra perlumbaan.
Di litar yang pasukan Ducati tidak memenangi perlumbaan sejak 2006, Bagnaia mengikut jejak Miller untuk mendahului kejuaraan dari tangan Quartararo.
Penunggang Itali, Franco Morbidelli berada di tempat ketiga bersama pasukan Yamaha.
Sementara penunggang Perancis, Quartararo menamatkan perlumbaan di tangga ke-13, yang kelihatan mengalami kecederaan semasa tamat perlumbaan.
Miller memulakan dan menamatkan temu bual selepas perlumbaan dengan tangisan.
“Emosi yang tidak terkawal, gembira, sedih, segala-galanya,” katanya.

“Saya rasakan apabila Fabio berada di hadapan, dia mempunyai kelajuan yang lebih baik,” kata Miller. “Saya fikir dia akan terus memecut.
“Saya tidak menyangka dia akan kembali dikejar tetapi itulah yang berlaku.
“Dia mula nampak perlahan apabila saya memintasnya.
“Masih ada 12 atau 13 pusingan dan saya merasakan ia adalah satu tempoh yang panjang untuk berada di hadapan berseorangan tetapi saya berjaya melakukannya.”
Bagnaia mengikut Miller di belakang untuk memberikan pasukan Ducati penyudahan perlumbaan di kedudukan pertama dan kedua serta merampas kedudukan teratas kejuaraan.
“Saya sangat gembira,” katanya. “Ini merupakan litar yang sangat mencabar bagi kami, jadi dapat menamatkan kedudukan pertama dan kedua adalah keputusan besar bagi kami.”
Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami (Honda-LCR) berada di tempat keempat dan juara dunia dari Sepanyol, Joan Mir (Suzuki) di kedudukan kelima. – AFP