Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Milwaukee tekad pertahankan kejuaraan

    LOS ANGELES, 10 JULAI – Juara bertahan Piala NBA, Milwaukee Bucks akan berdepan New York Knicks, Chicago Bulls, Charlotte Hornets dan Miami Heat dalam peringkat kumpulan kejohanan Piala NBA musim ini, menurut pengumuman rasmi liga kelmarin.

    NBA telah mendedahkan enam kumpulan bagi edisi ketiga kejohanan pertengahan musim ini, yang akan bermula pada 31 Oktober dengan aksi peringkat kumpulan yang berlangsung pada malam-malam khas yang dikenali sebagai Cup Nights.

    Perlawanan tersebut akan dikira sebagai sebahagian daripada perlawanan musim biasa, termasuk peringkat suku akhir dan separuh akhir.

    Pemenang setiap kumpulan serta satu pasukan wild card dari setiap Conference akan mara ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 Disember.

    Separuh akhir pula akan dimainkan pada 13 Disember di Las Vegas, lokasi sama bagi perlawanan akhir yang akan diadakan pada 16 Disember.

    Pemain Milwaukee Bucks, Damian Lillard, melakukan lontaran percuma pada separuh masa kedua perlawanan bola keranjang NBA menentang Orlando Magic pada 8 Mac. – AP

    Kesemua 30 pasukan NBA telah diundi secara rawak ke dalam kumpulan lima pasukan dalam Conference masing-masing, berdasarkan rekod menang-kalah musim biasa 2024-2025.

    Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua di gelanggang lawan semasa peringkat kumpulan.

    Bagi pasukan yang tidak layak ke peringkat kalah mati, perlawanan tambahan akan dijadualkan supaya setiap pasukan tetap bermain keseluruhan 82 perlawanan musim biasa.

    Piala NBA mula diperkenalkan pada musim 2023-2024 selepas bertahun-tahun perbincangan mengenai kejohanan pertengahan musim untuk menambah daya tarikan pada awal musim.

    Los Angeles Lakers muncul juara edisi sulung selepas menewaskan Indiana Pacers di perlawanan akhir.

    Musim lalu, Milwaukee Bucks menewaskan Oklahoma City Thunder untuk saingan Piala NBA.

    Namun Thunder akhirnya menebus kekalahan tersebut dengan menjuarai gelaran NBA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda