Kebolehan penyanyi Mimi Fly mengalunkan ayat suci Al-Quran dengan merdu menerusi program Geng Ngaji musim keenam mendapat pujian warganet.
Tidak hanya warganet, para panel program tersebut turut terdiam dan fokus dengan bacaan Mimi atau Shamimi Amalina Norisham, 39, ketika mengalunkan surah al-Jaathiyah ayat 20-21.
Salah seorang panel program tersebut Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, dia menyukai alunan suara daripada penyanyi kerana kemerduan suara dimiliki mereka.
“Masya-Allah, tak sangka saya. Inilah yang saya suka apabila ada sahabat kita daripada kalangan penyanyi mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran, tercengang kita yang mendengarnya,” kongsinya.
Mendengar komen itu, Mimi hanya tersipu malu apabila bacaannya mendapat pujian para panel, lapor mStar.

Perkongsian tersebut meraih perhatian warganet dan rakan artis yang kagum dengan kemerduan dan kelancaran bacaan Mimi.
“SubhanaAllah, hebat dan manis Mimi bertudung. Moga diberikan hidayah kepada Mimi.
“Masa dia menyanyi pun sudah dengar dia mendayu-dayu kemerduannya.
“Berbakat besar dalam pelbagai genre dan ruang irama, merdunya sampai ke dalam jiwa,” antara komen warganet.
Selain Mimi, artis seperti Aisha Retno, Fathia Latiff, Zila Bakarin dan Ning Baizura pernah muncul menerusi program berkenaan.
Selain Ahmad Tarmizi, Geng Ngaji turut menampilkan panel seperti Don Daniyal Don Biyajid, Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Fakhrul Radhi dan Husaini Mahmur.
Tidak ketinggalan Farhatul Fairuzah, Sofizah Mousin dan Nor Hidayah Abd Rahman.
Geng Ngaji bersiaran langsung sepanjang bulan Ramadan pada pukul 6 petang di Astro Oasis. – Agensi