Penyanyi Malaysia, Mimi Fly bakal tampil dengan visual versi baharu selepas bertindak menurunkan muzik video (MV) lagu Serumpun daripada saluran YouTube miliknya sejak Isnin lalu.
Mengambil kira semua kritikan dan kecaman diterimanya, Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 38, sedang melakukan suntingan semula dan memadam babak tidak bersesuaian.
“Apabila buat rakaman MV mestilah ada pelbagai versi. Jadi saya sunting semula dan masukkan babak bersesuaian manakala babak yang dikritik itu saya padam.
“Saya terima baik pandangan semua orang dan kali ini saya tampil dengan versi mesra keluarga,” katanya ketika dihubungi mStar.
Mimi mengulas perkara itu selepas dia bertindak menurunkan video berkenaan yang dilancarkan pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun jelas Mimi, dia tidak memadam MV tersebut sebaliknya meletakkan ia dalam mode ‘private’ di YouTube.
Dalam pada itu, Mimi memberitahu versi baharu MV tersebut akan kembali dilancarkan di YouTube miliknya.
Kata Mimi, biarpun berat hati namun dia akur dengan pandangan orang ramai yang kurang senang dengan imej seksi ditampilkan.
Sementara itu, Mimi melihat setiap komen diberikan sebagai peringatan kepada diri sendiri atas tidak melakukan kesilapan sama pada masa akan datang.
Di sebalik itu juga, Mimi terharu dengan sokongan peminat apabila kemunculan semulanya dalam industri seni kembali mendapat perhatian. – Agensi