Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mimpi ngeri hilang ingatan akibat ensefalitis autoimun

    CALIFORNIA – “Tahun saya mula kucar-kacir,” begitulah Christy Morrill menggambarkan tempoh penuh keperitan apabila sistem imunnya diserang dan mengganggu fungsi otaknya. Apa yang dikenali sebagai ensefalitis autoimun menyerang organ yang membentuk identiti diri seseorang dan ia boleh muncul secara tiba-tiba.

    Morrill keluar berbasikal bersama rakan-rakan di persisiran pantai California, singgah makan tengah hari dan mereka tidak menyedari timbul sesuatu yang ganjil. Begitu juga Morrill sehinggalah isterinya bertanya bagaimana perjalanan itu dan dia langsung tidak mengingatinya. Keadaan Morrill bertambah buruk sebelum kembali pulih.

    ‘Tidak waras’ dan ‘bergelut mencari sinar cahaya,’ tulisnya ketika delusi mula muncul dan ingatannya semakin tidak keruan.

    Daripada semua cara sistem imun kita boleh tersilap menyerang tubuh sendiri, ensefalitis autoimun adalah antara yang paling sukar difahami. Individu yang kelihatan sihat tiba-tiba merosot dengan kekeliruan, kehilangan ingatan, sawan malah psikosis.

    Namun doktor semakin pakar mengenal pasti penyakit ini, hasil penemuan senarai antibodi yang semakin berkembang iaitu antibodi ‘songsang’ yang apabila ditemui dalam darah dan bendalir tulang belakang, membantu proses diagnosis.

    Christy Morrill yang kehilangan puluhan tahun ingatan akibat ensefalitis autoimun, memegang alat peninjau dengan slaid filem dirinya semasa zaman kolej, pada 20 Ogos, di rumahnya di San Carlos, California. – AP
    Christy Morrill semasa melihat album foto majlis perkahwinan anak lelakinya. – AP
    Christy Morrill melihat album foto keluarga bersama, dari kiri, isteri Karen, anak perempuannya Caitlin dan cucunya Colter, di rumahnya. – AP
    Kiara Alexander, yang pernah dimasukkan ke hospital akibat ensefalitis autoimun, bergambar di rumahnya, pada 10 Oktober, di Charlotte, North Carolina. – AP

    Setiap tahun, antibodi penyebab baharu sudah dikenal pasti, kata Dr Sam Horng, pakar neurologi di Mount Sinai Health System, New York, yang merawat pesakit dengan pelbagai bentuk penyakit misteri ini.

    Walaupun rawatan hari ini melibatkan kaedah umum untuk mengawal keradangan, dua ujian klinikal besar sedang dijalankan bagi mencari terapi yang lebih disasarkan.

    Namun ia tetap mencabar. Gejala sering disalah anggap sebagai gangguan psikiatri atau neurologi lain, menyebabkan rawatan sebenar tertangguh.

    “Apabila seseorang mengalami perubahan tiba-tiba dalam status mental mereka, semakin merosot dan ada unsur pelik pada keadaan itu, ia membangkitkan syak wasangka kami,” kata Horng. “Penting untuk tidak terlepas penyakit yang boleh dirawat.”

    Dengan diagnosis awal, sesetengah pesakit pulih sepenuhnya. Yang lain seperti Morrill kembali berfungsi secara normal dalam kehidupan seharian tetapi berdepan kerosakan kekal. Dalam kesnya, kehilangan kenangan ‘autobiografi’ beberapa dekad.

    Lelaki berusia 72 tahun ini, bekas pelajar sastera, masih mampu menyebut fakta dan maklumat lama dan dia mencipta ingatan baharu setiap hari. Tetapi gambar keluarga sekalipun tidak mampu membantu dia mengingati detik penting hidupnya.

    “Saya ingat Ulysses diterbitkan di Paris pada 1922 di kedai buku Sylvia Beach. Mengapa saya ingat perkara itu, yang tiada kegunaan kepada saya lagi, sedangkan saya tidak ingat majlis perkahwinan anak saya?” kata Morrill.

    KERADANGAN OTAK

    Ensefalitis bermaksud otak mengalami keradangan dan gejalanya boleh berubah daripada ringan hingga mengancam nyawa. Jangkitan merupakan punca biasa dan lazimnya memerlukan rawatan terhadap virus atau bakteria yang menjadi punca. Tetapi apabila itu diketepikan, punca autoimun perlu dipertimbangkan, kata Horng, terutama apabila gejala muncul secara mendadak.

    Istilah umum ensefalitis autoimun merangkumi kumpulan penyakit dengan nama yang ganjil, berdasarkan antibodi yang mencetuskannya seperti ensefalitis reseptor anti-NMDA.

    Walaupun penyakit itu bukan baharu, namanya hanya diberikan pada 2007 apabila Dr Josep Dalmau dari Universiti Pennsylvania menemui antibodi penyebab pertama, sekali gus mencetuskan pencarian antibodi lain.

    Ensefalitis reseptor anti-NMDA ini cenderung menyerang wanita muda dan, sesuatu yang pelik, ia kadangkala dicetuskan oleh sista ‘dermoid’ pada ovari.

    Bagaimana ia berlaku? Sista jenis itu mempunyai persamaan dengan tisu otak tertentu, jelas Horng. Sistem imun boleh menghasilkan antibodi yang mengenal pasti protein daripada pertumbuhan itu. Jika antibodi terbabit memasuki otak, ia tersilap menyerang reseptor NMDA pada sel otak sihat, menyebabkan perubahan personaliti dan tingkah laku termasuk halusinasi.

    Antibodi berbeza menyebabkan masalah berbeza bergantung pada bahagian otak yang diserang sama ada bahagian ingatan dan emosi atau bahagian deria dan pergerakan.

    Secara keseluruhan, ‘aspek-aspek yang membentuk diri seseorang kelihatan terjejas,’ kata Horng.

    Rawatan termasuk menapis antibodi berbahaya daripada darah pesakit, memasukkan antibodi sihat, dan steroid dos tinggi untuk mengurangkan keradangan.

    SERANGAN SENYAP TERHADAP OTAK

    Antibodi berkaitan sista itu menyerang Kiara Alexander di Charlotte, North Carolina, yang tidak pernah mendengar tentang penyakit otak tersebut. Dia mengabaikan beberapa kelainan seperti sedikit pelupa dan termenung beberapa minit, sehingga dia mendapati dirinya berada dalam ambulans akibat sawan.

    Mungkin dehidrasi, kata hospital pertama. Di hospital kedua selepas sawan kedua, seorang doktor menyedari tanda-tanda berpotensi dan memerintahkan punksi lumbal yang menemui antibodi penyebab.

    Ketika rawatan bermula, gejala lain semakin timbul. Dia hampir tidak mengingati sebulan berada di hospital.

    “Mereka kata saya akan bangun sambil menjerit. Apa yang saya ingat pula seperti mimpi ngeri, seperti iblis cuba menangkap saya.”

    Kemudian Alexander akan bertanya tentang anak perempuannya yang berusia 9 tahun dan bila dia boleh pulang, hanya lupa jawapan itu dan bertanya semula.

    Alexander berasa bertuah kerana didiagnosis awal dan sista ovari itu dikeluarkan. Namun dia mengambil masa lebih setahun untuk pulih sepenuhnya dan kembali bekerja sepenuh masa.

    APA YANG MENYEBABKAN INGATAN HILANG?

    Di San Carlos, California, pada awal 2020, doktor mengambil masa berbulan-bulan untuk menentukan punca masalah ingatan Morrill. Dia masih mengingati fakta dan bercakap dengan fasih, tetapi kehilangan ingatan tentang peristiwa hidup, kombinasi pelik yang menyebabkan Dr Michael Cohen dari Sutter Health menghantarnya untuk ujian lebih khusus.

    “Ia sangat luar biasa, amat luar biasa, apabila seseorang hanya mengadu masalah ingatan autobiografi,” kata Cohen.

    “Kita perlu memikirkan gangguan yang jarang berlaku.”

    Sementara itu, isteri Morrill, Karen, menyedari sesuatu yang kelihatan seperti sawan ringan dan akhirnya satu sawan berlaku di depan doktor lain, yang membantu mempercepatkan punksi lumbal dan diagnosis ensefalitis antibodi LGI1.

    Ia jenis yang paling biasa berlaku dalam kalangan lelaki berusia lebih 50 tahun. Antibodi itu mengganggu bagaimana neuron berkomunikasi dan imbasan MRI menunjukkan ia menyerang pusat ingatan utama.

    Ketika itu Morrill, yang menghabiskan masa persaraan membimbing sukan kayak, tidak lagi mampu turun ke air. Dia berhenti membaca dan bertambah resah apabila delusi menakutkan datang dan pergi.

    “Saya hilang seluruh keupayaan mental dan musnah sepenuhnya,” katanya.

    Dia menggunakan haiku untuk memahami apa yang berlaku dan beberapa bulan selepas rawatan akhirnya bertanya sama ada ‘ubat yang mengalir dalam tubuh’ benar-benar ‘memadam api. Adakah sinar harapan?’ – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda