Ulasan siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis
MegaDrama di saluran Astro Ria terus menampilkan drama baharu yang diadaptasikan daripada novel hebat dan salah satu drama terbaharu tersebut ialah Sweet Dreams.
Drama diinspirasikan daripada novel Sweet Dreams karya Acik Lana menampilkan gandingan antara Ben Amir dan Mira Filzah.
Drama ini baharu sahaja bermula pada 5 Ogos lalu dan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.
Sweet Dreams mengantikan drama MegaDrama sebelum ini iaitu Setelah Terlafaznya Akad, lakonan Kamal Adli dan Uqasha Senrose.
Drama ini diarahkan oleh Michael Ang dan skrip pula ditulis oleh Nazri M.Annuar dan Mamu Vies. Sweet Dreams diterbitkan oleh Juita Viden Sdn Bhd.

Selain Mira Filzah dan Ben Amir, drama ini turut menampilkan pelakon yang lain seperti Sean Lee, Nina Juren, Yuna Rahim, Roy Azman, Yusuf Bahrin, Nazs Sally, PU Azman, Didi Astillah dan Michael Ang.
Drama ini turut menampilkan lagu tema yang bertajuk iamNeeta dan dinyanyikan oleh Illusi.
Plot ringkas
Puteri seorang gadis bisu yang diberi gelaran Ratu Kelam Kabut atau ‘Minah Clumsy’ sudah cukup sinonim dengan dirinya sejak kecil. Habis semua tiang dan dinding dilanggar, malah sudah banyak kali dia jatuh tertonggeng ke dalam longkang.
Bernasib malang atau dia memang punya masalah koordinasi fizikal tidak seimbang. Namun, beberapa siri kejadian malang tiba-tiba berubah dengan kemunculan seorang jejaka misteri yang sering menyelamatkannya.
Tidak sempat mencium tanah, tubuh dia sudah disambut. Tidak sempat tergolek, tangannya sudah dipaut. Pelik, lelaki itu datang tanpa isyarat.
Qash Adam seorang pelukis selalu mendapat mimpi tentang kejadian buruk yang bakal menimpa.
Kesengsaraan dialami pada zaman silam membuatkan dia kemurungan dan hidup dalam pengasingan. Anugerah yang dikurniakan membuat seluruh tubuh rasa terbeban.
Dihina, difitnah dan dicaci kerana dikatakan mempunyai kuasa magis membuatkan dia menolak sebarang bentuk hubungan dengan manusia. Dia tertekan, ini kelebihan atau satu sumpahan baginya.
Mimpi yang datang bukan biasa-biasa. Ia datang dengan segunung tanggungjawab yang terlalu besar.
Namun, kemunculan seraut wajah dalam mimpinya meletakkan Qash dalam keadaan keliru. Banyak peristiwa lucu, pertelingkahan dan salah faham berlaku apabila si malang bertemu dengan si adiwira. Rahsia demi rahsia terbongkar.
Namun, sebanyak mana pun perbezaan antara Putri dan Qash, ada perasaan halus mengikat hati mereka berdua. Berkahwin dan kemudian bercinta tanpa tahu pengakhirannya.