Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Dengan minat yang mendalam serta keinginan tinggi, seseorang usahawan itu mampu untuk menjadikan impiannya satu kenyataan.
Bagaimanapun bagi mencapai kejayaan berkenaan, laluannya bukan mudah, ia dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani.
Ganjaran di akhir perjalanan ke arah kejayaan itu, adalah lebih manis dan berbaloi apabila kejayaan yang dicapai merupakan hasil daripada usaha serta minat mendalam kepada perusahaan yang dimajukan.
Itulah merupakan mesej yang dikongsi bersama oleh tiga orang usahawan dan pengasas perusahaan muda iaitu Dayang Shy Nokman daripada Sparkle with Shy, Vanessa Teo dari Agrome IQ dan Awang Aizzudin Fakhri dari kadairuncit.com semasa panel perbincangan bertajuk ‘Beyond The Old Economy: Exploring New Horizons For Brunei Business’ di Forum LBD anjuran Asia Inc Forum yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Panel perbincangan itu mengetengahkan tiga orang usahawan muda yang meneroka peluang perniagaan atau keusahawanan baru dengan berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar dan baru.

Perbincangan yang dikendalikan oleh Pengurus Besar Program Serantau, Asia Inc Forum, Andrew Dy itu membincangkan mengenai inspirasi ketiga-tiga usahawan muda itu di sebalik keinginan mereka untuk meneroka peluang perniagaan yang baru serta untuk menjadikan idea berkenaan, satu realiti di pasaran Brunei.
Pada masa yang sama, ia turut mencungkil pemikiran mereka sebagai usahawan muda dalam menangani cabaran perniagaan yang berada di hadapan mereka seperti sumber dan modal yang terhad.
Semasa sesi panel perbincangan itu, Dayang Shy Nokman mengulas mengenai pentingnya bagi seorang usahawan untuk mempunyai minat yang mendalam kepada perusahaan atau bidang perniagaan yang diterokai itu.
Baginya, beliau pernah memulakan perniagaan yang terdahulu di mana beliau hilang minat pada bidang itu, yang membuatnya hilang arah seketika sebelum mendapat inspirasi dan minat yang lebih mendalam untuk menceburi bidang kecergasan dan pemakanan sihat melalui perusahaan Sparkle with Shy.
Manakala itu, Vanessa pula menyatakan bahawa minat untuk membantu peladang-peladang dalam pengurusan ladang serta memudahkan lagi pengurusan ladang mereka khususnya peladang di rantau ASEAN menjadi inspirasi baginya untuk melancarkan aplikasi mudah alih pertaniannya di Brunei dan negara-negara Asia Tenggara.
Beliau juga berkata bahawa pentingnya sebagai seorang usahawan untuk tidak berhenti menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka serta untuk mempunyai kumpulan yang dapat membantu menjadikan idea yang ada, satu realiti.
Bagi Awang Aizzudin pula, beliau melalui pelbagai cabaran dalam memulakan perniagaannya di mana sebelum mempunyai Kadairuncit.com, beliau telah meneroka beberapa bidang perniagaan yang lain, namun ia kurang menyerlah atau mencapai kejayaan yang diharapkan.
Beliau menyatakan bahawa seorang usahawan yang ingin meraih kejayaan ialah seorang usahawan yang tidak mudah mengalah jika berhadapan dengan kegagalan atau cabaran.
Mereka harus bersedia untuk mencari jalan mengatasi cabaran itu serta bersedia untuk membuat pengorbanan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan.
Forum LBD 2017 yang membawa tema ‘Mencari Peluang Pada Masa Mencabar’ itu dihadiri oleh lebih 140 orang peserta yang terdiri daripada mereka di sektor perusahaan, perniagaan dan kerajaan yang mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk mengukuhkan dan memupuk semangat keusahawanan di kalangan golongan belia dan muda tempatan.
Semasa forum itu, para peserta berpeluang untuk mendengar perbincangan yang disampaikan oleh penceramah undangan yang terdiri daripada pengasas perusahaan, pemilik perniagaan dan pengurus berpengalaman yang mengongsi pengalaman kejayaan mereka serta untuk mengembangkan lagi keupayaan perniagaan para peserta menerusi pembangunan kemahiran dan kepimpinan keusahawanan, pengalaman perniagaan, pelajaran dalam perniagaan serta membolehkan mereka untuk menjalinkan rangkaian hubungan yang baru.