Tuesday, September 17, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minat mendalam pada sains pemakanan jadi pendorong

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Minat yang mendalam bagi bidang pemakanan dan sains makanan mendorong Dayang Hajah Wafiqah binti Haji Daim untuk melanjutkan pengajian kedoktorannya dalam bidang berkenaan di University of Queensland, Australia.

    Dayang Hajah Wafiqah, seorang penerima biasiswa Skim Cendekiawan Universiti Teknologi Brunei (UTB), merasai peluang keemasan yang diberikan kepadanya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara sebagai satu amanah daripada semua pihak yang percaya pada dirinya untuk melakar sejarah baru serta menyumbang secara positif kepada pengembangan bidang pemakanan dan sains makanan.

    Dalam temu bual bersama Media Permata, di sini, Dayang Hajah Wafiqah mengongsi bahawa minat yang mendalam untuk menimba ilmu pengetahuan menjadi perangsang baginya untuk cemerlang dalam bidang pengajian sehingga beliau berpeluang untuk melanjutkan pengajian kedoktoran dalam bidang diminatinya. Beliau menyatakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya tidak akan disia-siakan dan merasa komited untuk menjana impak positif dalam bidang saing makanan apabila kembali nanti.

    Dayang Hajah Wafiqah juga melihat peluang yang diberikan menerusi biasiswa berkenaan sebagai laluan untuk memberikan inspirasi dan mendidik generasi masa depan khususnya dalam profesion sebagai seorang pensyarah apabila tamat pengajian nanti.

    Beliau percaya bahawa tugas pensyarah bukan sahaja untuk menyampaikan kuliah yang menarik tetapi juga untuk membangunkan pelbagai peluang pendidikan serta menubuhkan kerjasama yang berharga dengan universiti dan industri.

    Beliau juga menyatakan keinginan untuk menerajui projek-projek penyelidikan yang berimpak di mana ia akan menangani cabaran global dalam industri makanan, menyumbang kepada masa depan yang mampan serta menyokong pertumbuhan dan kejayaan UTB.

    Dayang Hajah Wafiqah menyatakan bahawa kejayaan yang diperolehnya adalah atas berkat restu dan doa kedua ibu bapanya, keluarga dan juga suami yang sentiasa memberikannya dorongan, sokongan dan keyakinan untuk berani menghadapi cabaran yang hadir serta mencapai impiannya untuk melanjutkan pengajian dan menjadi seorang pensyarah apabila kembali nanti.

    Mengulas mengenai nasihatnya kepada mereka yang beringinan untuk melanjutkan pengajian, beliau berkata mereka harus sentiasa berpegang kepada minat mereka dan sentiasa ingat kepada perkara yang mendorong mereka melalui perjalanan berkenaan.

    “Tumpulah kepada matlamat awda, terimalah segala cabaran dan lihatlah semua kemunduran itu sebagai pengalaman pembelajaran,” ujarnya.

    Dayang Hajah Wafiqah (dua dari kanan) bergambar-ramai dengan ibu bapa dan suami.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda