KUALA LUMPUR, 27 JUN – Minat pelabur berubah dan beralih kepada pelaburan alternatif dijangka bertambah baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berikutan keperluan untuk meningkatkan daya tahan dalam portfolio hartanah mereka dalam persekitaran pemulihan pasca pandemik negara, kata Knight Frank Malaysia.
Menurut Kaji Selidik Sentimen Pelaburan Hartanah Komersial Malaysia dilakukan Knight Frank, pelabur telah menunjukkan minat dalam kediaman servis, hotel, pejabat bekerja bersama/fleksibel, kediaman untuk warga emas/rumah persaraan dan pusat data.
Pelabur juga minat di luar Lembah Klang kerana Sabah, Johor dan Pulau Pinang adalah antara destinasi popular untuk pelaburan alternatif tersebut.
Knight Frank Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa sebanyak 76 peratus responden menjangkakan subsektor perindustrian dan logistik akan menikmati peningkatan nilai modal pada 2022 dengan 57 peratus menjangkakan perkara yang sama untuk subsektor penjagaan kesihatan. Daripada segi prestasi hasil, sebanyak 68 peratus responden mengunjurkan hasil akan meningkat dalam subsektor logistik dengan jangkaan hasil yang lebih tinggi untuk subsektor penjagaan kesihatan dan industri.
Bagaimanapun, Knight Frank juga menjangkakan bahawa penghunian ruang pejabat akan berkurangan disebabkan tekanan berterusan terhadap kadar penghunian dan kadar sewa apabila bekalan terus melebihi permintaan. Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong turut berkata, responden yakin subsektor logistik dan perindustrian akan pulih paling pantas dalam tempoh dua belas bulan akan datang bersama-sama dengan subsektor penjagaan kesihatan. – Bernama