KUALA LUMPUR, 30 Nov – Terdapat peningkatan minat pelabur Poland melabur dan mengembangkan perniagaan di Malaysia, didorong faktor lokasi strategik, kemudahan menjalankan perniagaan dan kos kompetitif, menurut Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Debnicki.
Beliau berkata, Malaysia sesuai sebagai platform untuk syarikat bersaiz sederhana memulakan perniagaan di samping mengintai peluang baharu di rantau ASEAN.
“Kedudukan Malaysia di tengah-tengah ASEAN dan kos kompetitif berbanding negara lain. Kemudahan dan sistem perundangan membolehkan syarikat Poland menjalankan perniagaan lebih mudah dan efisien,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.
Debnicki berkata kira-kira 38 juta pelabur dari Eropah Tengah sedang mencari peluang baharu di luar dan rantau ASEAN yang dihuni hampir 700 juta penduduk dilihat sebagai pasaran penting.
“Setakat ini hubungan ekonomi utama kami dengan Kesatuan Eropah (EU), terutamanya Jerman,” katanya.
Menurut Debnicki, buat masa ini terdapat 13 syarikat Poland di Malaysia, termasuk Comarch, sebuah syarikat perisian antarabangsa, ditubuhkan pada 1993 di Krakow serta syarikat kimia PCC Rokita yang memeterai perjanjian dengan Petronas Malaysia, Februari tahun lepas untuk membina loji oksida alkilat di Terengganu .
Terdapat juga pelaburan Malaysia di Poland oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang pada tahun ini membeli pusat beli-belah di Katowice (Galeria Katowicka) berharga RM1.4 bilion serta dua buah bangunan perniagaan di Warsaw (Pusat Perniagaan Gdanski) dengan nilai RM942 juta.
Aspek hubungan dua hala Warsaw-Kuala Lumpur pula, ujar Debnicki negaranya berharap kedua-dua pihak mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pelancongan, pendidikan serta perdagangan halal.
Perdagangan dua hala kedua-dua negara tahun lepas berjumlah AS$ 944.3 juta. – Bernama