Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Minda yang cerdas merupakan alat bermanfaat yang dapat mengatasi pelbagai masalah berpandukan Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Kunci kesempurnaan sem-bahyang ialah khusyuk dengan memelihara rukun serta tertibnya, dan khusyuk boleh dicapai dengan adanya minda yang sihat dan tanpa minda yang sihat, tidak boleh diharapkan sembahyang akan khusyuk.
Manakala tertib dalam sembahyang mengajarkan disiplin diri.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
“Peranan minda yang sihat mencetuskan khusyuk dalam sembahyang, dan adalah perlu untuk memelihara minda supaya tetap sihat, dan cara memelihara adalah dengan melakukan sembahyang,” titah Baginda.

Hati dan minda orang sembahyang tidak ke mana-mana, melainkan hanya kepada Allah SWT semata-mata, dan menjadikan hati dan minda orang sembahyang itu pasti bersih, tenang dan sihat.
Dengan mendalami hikmah setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang, titah Baginda lagi, minda akan menjadi terlatih untuk menghindari gangguan, apa juga jenis gangguan yang boleh menjerumuskan kepada pelbagai kerosakan.
“Hanya minda yang sihat dan cerdas sahaja akan mampu membuat pertimbangan, mana perkara baik dan perkara buruk, atau mana perkara lurus dan mana pula perkara salah,” titah Baginda.
Baginda seterusnya menekankan, kepentingan minda yang sihat adalah segala-galanya.
Selain mengingatkan supaya kesihatan mental terus dijaga, bukan setakat merawatnya dengan rawatan biasa yang sedia ada, tetapi mahu supaya rawatan bersepadu iaitu rawatan cara Islam turut juga sama-sama diperkenalkan.
Sejajar dengan itu, titah Baginda minda yang sihat akan dapat memelihara agama dan menepis sebarang percubaan untuk memperalatkan dan menyalahgunakan agama Islam khususnya untuk kepentingan peribadi.
Baginda turut menegaskan mengenai berita yang digemparkan mengenai Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang telah diharamkan kerana terbabit dengan jenayah ke atas kanak-kanak dan mengamalkan amalan terpesong.
Baginda seterusnya mengingatkan supaya jangan leka dan memandang ringan perkara ini, ia ibarat penyakit berjangkit, ia mesti dicegah dan ditolak tanpa sebarang tolak ansur.
“Ini kerana, jika tidak ia akan mengganggu keharmonian masyarakat malah mengancam keselamatan,” tegas Baginda.
Baginda seterusnya menyarankan agar sentiasa ingat dan menanamkan dalam minda bahawa pegangan agama yang diamalkan selama ini adalah berdasarkan aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan hendaklah terus diperkukuhkan, dipegang sampai bila-bila dan dijadikan sebagai kubu atau benteng pertahanan daripada sebarang bentuk aliran lain untuk memelihara keselamatan masyarakat.
Selain menyeru semua golongan dan peringkat lapisan masyarakat yang menganut agama Islam di negara ini untuk terus mendukung dan mengamalkan aliran ini sebagai pegangan hidup, dan pegangan ini kita dan juga negara akan terus dilimpahi rahmat, aman makmur, sejahtera dan selamat dunia dan akhirat.