Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Pasukan Bola Sepak Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bertemu dengan pasukan Bola Sepak Jabatan Perdana Menteri (PMO) pada perlawanan separuh akhir kejohanan Bola Sepak Kementerian-Kementerian merebut Piala Keputeraan 2025.
Kejayaan pasukan MINDEF melangkah ke separuh akhir selepas berjaya menewaskan pasukan Bola Sepak Kementerian Pembangunan (MOD) dengan jaringan 1-0 pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Padang dan Belapan, Berakas, kelmarin.
Jaringan tunggul pasukan MINDEF diperolehi menerusi sepakan penalti di minit ke 83 menerusi Abdul Azizi Ali Rahman yang mudah memperdayakan penjaga gol MOD, Mohd. Wardun Yussof.
Kedua pasukan yang menampilkan rentak permainan yang berhati-hati bagaimanapun masing-masing berjaya menghadirkan peluang untuk merobek gawang lawan namun penjaga gol kedua pasukan beraksi lebih kemas menyelamat gawang.
Ketika perlawanan bagai diheret ke masa tambahan, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan MINDEF yang disempurnakan dengan menarik oleh Abdul Azizi Ali Rahman.
Kebangkitan pasukan MOD untuk mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal sehingga tamat perlawanan sekalipun mempunyai kelebihan selepas pemain MINDEF, Huzaimi Haji Tengah dilayangkan kad merah.




