Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Shell LiveWire Brunei menobatkan Mindtrex Academy sebagai naib johan dalam pertandingan global Shell Top 10 Innovators (TTI) 2025, di bawah kategori Inovasi Perniagaan dengan memenangi hadiah wang berjumlah AS$10,000.
Disenarai pendek daripada lebih 100 usahawan di empat benua, Mindtrex Academy telah memperoleh pengiktirafan antarabangsa atas usaha cemerlangnya untuk merapatkan jurang pendidikan melalui teknologi dan inovasi.
Sebagai startup tempatan iaitu platform e-pembelajaran pertama Brunei yang didedikasikan untuk menjadikan pendidikan berkualiti lebih mudah diakses terutamanya untuk komuniti yang kurang bernasib baik, platform Ed-Tech ini menggabungkan modul interaktif, pembelajaran gamified dan cerapan dipacu data untuk membantu pelajar menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.
Menerusi kerjasama rapat dengan sekolah-sekolah tempatan dan juga menawarkan akses kepada golongan belia yang kurang bernasib baik, Mindtrex membawa pengalaman pembelajaran yang bermakna dan inklusif kepada kehidupan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran Mindtrex Academy, Dayangku Nur Su’aidah @ Mimi binti Pengiran Haji Metussin mengungkapkan kesyukuran dengan pengiktirafan di pentas global itu kerana ia suatu hal yang tidak disangka mampu meraih kejayaan berkenaan.
“Ini bukan hanya kemenangan untuk Mindtrex Academy, ia adalah kemenangan untuk Brunei, untuk belia kita, untuk pendidik, dan untuk setiap pelajar yang layak mendapat peluang untuk belajar dan berkembang maju, tidak kira latar belakang mereka.
“Kami adalah pasukan kecil dari sebuah negara kecil, tetapi kami bermimpi besar dan pengiktirafan ini mendorong kami untuk terus maju, berinovasi dan mengharumkan nama Brunei,” ujarnya. Shell TTI ialah pertandingan global yang menonjolkan usahawan Shell LiveWire yang berimpak dan inovatif yang membuat sumbangan positif ke arah impak sosial, kelestarian alam sekitar dan inovasi perniagaan. Usahawan yang diraikan melalui TTI selalunya merupakan perintis dan wira yang tidak didendang, bekerja keras untuk menjadikan kehidupan lebih baik untuk diri mereka sendiri, pasukan mereka dan komuniti mereka yang lebih luas.