Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Di bulan Ramadan yang mulia ini, Mindtrex Academy tidak ketinggalan meraih ganjaran berganda dengan menyumbangkan tajaan akaun Mindtrex Academy kepada 50 orang pelajar yang kurang berkemampuan dari sekolah-sekolah Arab di seluruh negara, hari ini.
Majlis Pemberian Akaun Mindtrex Academy Secara Percuma telah diadakan di Dewan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Rimba.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar.
Inisiatif majlis tersebut adalah untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas sifat pemedulian terhadap pembelajaran dan sokongan yang kuat daripada sekolah-sekolah Arab khususnya sejak pelancaran aplikasi Mindtrex Academy pada 2021.
Pengurus Mindtrex Academy, Dayangku Nur Su’aidah binti Pengiran Haji Metussin dalam ucapannya mengongsikan tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk berbagi rezeki kepada pelajar-pelajar yang terpilih khususnya dari sekolah-sekolah Arab yang menyokong pihak mereka secara berterusan sejak dari awal penubuhannya.
Beliau juga berharap supaya pelajar-pelajar yang terpilih untuk menggunakan aplikasi Mindtrex Academy agar dapat meningkatkan mutu pembelajaran dan dapat menyuntik semangat belajar yang kemudiannya membuahkan hasil terutama ketika musim peperiksaan yang akan datang.
Selain itu, lebih 80 pelajar yang memerlukan sokongan di bawah naungan BIBD ALAF dari berlainan sekolah juga mendapat bantuan dari Syarikat Mindtrex Academy.
Atas kerjasama tiga tahun secara berturut-turut dengan BIBD ALAF, Mindtrex Academy dapat membantu pencapaian akademik yang cemerlang.



