Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minggu bahasa tingkat kepentingan menguasai bahasa Melayu

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga simbol identiti dan kekuatan bangsa yang perlu dipelihara. Usaha harus terus dilakukan agar bahasa tidak sekadar mengakar tradisi, tetapi juga mampu menggapai globalisasi, bersaing dengan bahasa lain di persada dunia.

    Perkara berkenaan antara yang diutarakan oleh Pengetua Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Hajah Azizah binti Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program Minggu Bahasa yang berlangsung di Dewan Puteri, STPRI kelmarin.

    Beliau menambah dengan adanya program Minggu Bahasa berkenaan telah menghidupkan semangat keilmuan dan warisan budaya Melayu dalam kalangan pelajar melalui pelbagai aktiviti yang menarik dan bermakna.

    Antara tujuan program tersebut dilaksanakan, jelas Hajah Azizah adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran bertutur, membaca mahupun menulis jawi dan rumi.

    Dengan tema Mengakar Tradisi, Menggapai Globalisasi Puteri, Minggu Bahasa di bawah kelolaan Jabatan Pengajian Melayu STPRI telah diadakan selama empat hari dengan menyaksikan pelbagai aktiviti bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan yang disertai pelajar-pelajar dengan penuh semangat.

    Aktiviti-aktiviti seperti pertandingan mencipta poster jawi, pantun, sajak, makanan dan nyanyian lagu tradisional Brunei, menghasilkan dialog komik; persembahan pentas, lakonan, nyanyian, tarian dan bermacam-macam lagi sama ada secara langsung mahupun melalui siaran segmen radio sekolah.

    Majlis penutup program berkenaan telah dimulai dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan daripada pengetua STPRI. Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan teater muzikal dan tayangan video aktiviti setiap peringkat Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja dan Kesusasteraan Melayu. Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang setiap pertandingan yang mewarnai program tersebut.

    Pengungkayahan program berkenaan juga bertujuan bagi menggalakkan penghargaan terhadap keindahan dan keunikan bahasa Melayu melalui aktiviti seni bahasa dan mendorong penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan dalam komunikasi harian pelajar.

    Semua di atas: Antara aktiviti semasa majlis penutup program berkenaan.

    Sesi bergambar ramai antara semua peserta dan para guru yang terlibat dalam majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda