LONDON, 2 MEI – Minggu Pelancongan dan Kebudayaan China Ketiga dilancarkan di Britain secara maya pada Jumaat, bertemakan ‘China yang Indah, Manfaat Bersama Rakyat’, ia bakal berlangsung selama dua bulan sehingga penghujung Jun.
Antara acara bakal diadakan pada Mei ialah aktiviti yang bertemakan inisiatif Jalur & Laluan (BRI), muzik, makanan dan minuman berasaskan teh.
Selain itu, Festival Muzik Antarabangsa China-Britain Keempat, forum khas, tayangan dokumentari mengenai masakan China turut dirancang untuk menggalakkan pertukaran tamadun yang berbeza.
Aktiviti pada Jun pula tertumpu kepada tema mengenai pembangunan kawasan luar bandar, Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dan budaya masakan China.
Kuasa Usaha Sementara China ke Britain, Yang Xiaoguang dalam ucapan melalui videonya menyatakan, minggu pelancongan dan kebudayaan China tahun ini mengetengahkan komunikasi antara tamadun berbeza, demi manfaat bersama rakyat.
Beliau berharap kedua-dua negara terus meningkatkan kerjasama dalam pelancongan dan kebudayaan, membuka lembaran baharu dalam kerjasama dan perpaduan untuk mengatasi cabaran semasa. – Bernama