Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Hubungan pelancongan yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia mencerminkan persahabatan berkekalan dan hubungan yang mendalam dikongsi oleh kedua-dua buah negara.
Ia merupakan ikatan yang dibina atas budaya yang serupa, saling hormat-menghormati dan hubungan warga-ke-warga yang erat.
Perkara ini dijelaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan dalam ucapannya pada Perasmian Minggu Malaysia 2025 yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, kelmarin.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Royal Brunei Airlines, Haji Badarudin bin Haji Bagol, Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Hazrina Azman serta para jemputan khas.

Dalam ucapannya lagi, TYT Datuk Mohd Aini menyatakan acara berkenaan diharap akan menawarkan rakan-rakan Brunei sekilas pandang gaya hidup mantap, pelbagai tarikan, hospitaliti bertaraf dunia serta kesalinghubungan tiada tandingan Malaysia.
Terdahulu itu, Hazrina Azman dalam ucapan alu-aluannya menyatakan Brunei terus menjadi pasaran pelancongan utama Malaysia dalam ASEAN.
Menerusi Minggu Malaysia 2025, ulasnya, mereka berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai warga Brunei untuk menemui semula Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi percutian hampir tetapi sebagai sebuah destinasi yang dipenuhi dengan budaya, pengembaraan dan pengalaman tulen.

Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal menjelang, pihaknya amat teruja untuk mengalu-alukan lebih ramai pengembara untuk mengalami kemesraan dan keindahan Malaysia, tambahnya lagi.
Minggu Malaysia 2025 telah dirasmikan bersama oleh TYT Datuk Mohd Aini, Haji Badarudin dan Hazrina Azman di mana acara selama 2 hari itu bermula 18 Oktober hingga 19 Oktober, meraikan komitmen Malaysia kepada mempromosikan pelbagai destinasinya dan mengukuhkan kerjasama dengan industri pelancongan Brunei menandakan mercu tanda penting dalam menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Acara anjuran Tourism Malaysia selama dua hari itu menjadi sebuah platform strategik untuk mengetengahkan kekayaan pengalaman pelancongan Malaysia daripada pengembaraan dan budaya kepada gaya hidup dan kesejahteraan, sambil mengesahkan semula kesiapsiagaan negara untuk mengalu-alukan lebih ramai pelawat dalam tahun-tahun mendatang.
Sebanyak 11 pempamer mewakili negeri-negeri Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama-sama ejen-ejen pelancongan dari Negara Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Para pempamer berkenaan seperti Tourism Selangor, Miri City Council, Pullman Miri Waterfront, Labuan Rusukan Besar Resort, Palm Beach Resort, Monkeys Canopy Resort, Freme Travel Services, Darussalam Services, Pan Bright Travel Services, Straits Central Agencies dan Southern Cross Travel.

Mereka menawarkan tawaran pelancongan eksklusif dan diskaun istimewa bagi tambang penerbangan, penginapan hotel dan pakej percutian.
Untuk memeriahkan lagi acara itu sekali gus menimbulkan rasa keterujaan kepada pengunjung, acara turut mengetengahkan aktiviti interaktif, permainan kanak-kanak dan cabutan bertuah harian dengan hadiah-hadiah menarik.
Negara Brunei Darussalam kekal sebagai salah satu pasaran pelancongan keutamaan Malaysia dalam ASEAN.
Daripada Januari hingga Ogos 2025, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,005,423 ketibaan pelawat dari Negara Brunei Darussalam, dan ini telah mencerminkan tarikan kuat negara sebagai destinasi pelancongan pilihan di kalangan warga Brunei.
Memandang ke hadapan, Malaysia terus mengembangkan segmen pelancongan nilai tingginya termasuk percutian mesra keluarga, pelancongan berasaskan masyarakat dan eko, kesejahteraan, pendidikan, pakej tinggal lama dan perjalanan MICE yang disokong oleh infrastruktur bertaraf-dunia dan pengalaman tempatan tulen.
Dengan Malaysia mempersiapkan diri untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, ia kekal bersedia untuk mengalu-alukan jutaan pelawat yang ingin untuk mencari pengalaman pelancongan yang bermakna dan pelbagai.

