Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sempena minggu penyusuan susu ibu yang disambut setiap 1 Ogos, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; pengarah-pengarah, serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kesihatan.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia (PSI) tahun ini yang bertemakan ‘Memperkasa Ibu Bapa, Membolehkan Amalan Penyusuan Susu Ibu’ menekankan mengenai tiga peranan utama bagi melindungi, mempromosi dan menyokong amalan PSI iaitu dasar-dasar dan undang-undang bagi melindungi kebajikan ibu bapa; tempat kerja yang mesra ibu bapa sama ada dalam sektor pekerjaan formal dan tidak formal; dan nilai-nilai mesra ibu bapa dan kesaksamaan dalam keibubapaan.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif selaku pengerusi bersama majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan pelancaran daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan seterusnya melancarkan majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019. Majlis diselajurkan dengan pelancaran Buku The Code of Practice for Health Workers on Ending Inappropriate Marketing of Foods and Related Products For Infants and Young Children (0-5 years) in Brunei Darussalam.
Majlis tersebut juga turut diisikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Protecting Infant Health – The Health Worker’s Code’ oleh Konsultan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Hajah Rohayati binti Haji Mohd Taib, diikuti dengan sesi perkongsian pengalaman memberikan penyusuan susu ibu (PSI) oleh sepasang ibu bapa iaitu Dayangku Nurchichi Tia Dewi binti Pengiran Haji Chuchu dan Awang Yasir bin Haji Ahmadiah.
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian cenderahati kepada penceramah khas dan ibu bapa yang mengongsikan pengalaman PSI oleh tetamu kehormat majlis, yang kemudiannya dijemput bagi menyaksikan pameran pada majlis tersebut.
Seramai 400 orang yang terdiri daripada ibu-ibu mengandung dan suami, ibu-ibu yang mempunyai anak damit, penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi, ahli-ahli Persatuan Majlis Wanita, kumpulan HAWA dan PENJURU serta kakitangan di Kementerian Kesihatan hadir di majlis berkenaan.
