KOTA SAMARAHAN, 5 MEI – Minggu Sains Negara (MSN) 2025 yang bermula hari ini hingga penghujung tahun turut melibatkan penyertaan pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi program Kembara Sains Borneo 2025 (KSB 2025), Karnival MSN dan Rehlah Sains.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata program itu bertujuan menarik minat pelajar terhadap bidang sains serta teknologi termasuk mereka yang kurang mendapat akses pendidikan berkualiti.
“Sebanyak 30 sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak telah dipilih untuk program ini yang dijangka memberi manfaat kepada 30,000 pelajar iaitu 14 di Sarawak dan 16 di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025 di Kampus Universiti Teknologi MARA di sini malam ini. Ketika berucap pada majlis itu, Chang berkata penganjuran MSN tahun ini merupakan edisi kelapan sejak ia diperkenal pada 2018.
“Usaha ini adalah komitmen MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten serta berterusan.
“Dalam memastikan momentum kejayaan penganjuran MSN diteruskan pada tahun ini, MOSTI mengekalkan pendekatan pelaksanaan MSN secara menyeluruh sehingga ke akar umbi melalui pelaksanaan aktiviti secara fizikal di sebahagian besar lokasi di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia,” katanya.
Bertemakan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi’ MSN 2025 menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini. – Bernama
