Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – MINI Brunei hari ini mengadakan pelancaran perdana model crossover pertama untuk segmen kereta kecil premium iaitu MINI Aceman pada majlis yang diselajurkan dengan jerayawara MINI selama tiga hari bertempat di The Mall, Gadong, hari ini.
MINI Aceman adalah interpretasi kontemporari terhadap visi asas pencipta MINI, Sir Alec Issigonis yang mana penggunaan ruang yang maksimum dengan jejak minimum digabungkan dengan konsep pemanduan moden. Manakala reka bentuk progresif MINI Aceman pertama memberikan ruang untuk lima tempat duduk yang selesa.
Hadir merasmikan pelancaran ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo. Turut hadir wakil dari Baiduri Finance, Haji Mohammad Ali bin BM Haji Metusin, wakil BIBD At-Tamwil, Awang Asharul bin Norshari Kamaluddin, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) diwakili oleh Haji Mohammad Zainolamin Haji Mohd Zainie dan Felda Wong dari QAF Auto/MINI Brunei.
Menurut kenyataan yang diterima, MINI Aceman dengan teknologi inovatif menawarkan pengalaman penggunaan digital yang unik, sementara pemanduan elektrik pertama MINI Aceman memberikan keterujaan perasaan seakan-akan go-kart MINI yang tersendiri.
Digabungkan dengan sistem bantuan moden dan rekaan yang menjadi tanda jualan, nilai jenama tradisional membuka laluan masa depan untuk MINI elektrik sepenuhnya.
Ketua MINI Asia, Daren Ching berkata, “Kereta unik ini menggabungkan pengalaman pengembaraan MINI dengan elemen rekaan ikonik untuk menarik generasi baharu merangkumi fesyen, teknologi dan budaya.
“Kami yakin MINI Aceman pertama ini akan memberikan pengalaman yang benar-benar berbeza dan mengujakan,” tambah Daren Ching.
Selain itu, MINI Aceman juga dilengkapi dengan reka bentuk hadapan yang aerodinamik dan ciri-ciri baharu yang tersendiri, manakala pemanduan elektrik sepenuhnya membuka pelbagai kemungkinan pengalaman baharu.
Untuk maklumat lebih lanjut atau ingin melihat lebih dekat MINI Aceman, orang ramai bolehlah mengunjungi Bilik Pameran MINI Brunei di Perindustrian Beribi II.