Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Seramai 150 orang tetamu telah menyertai acara sungkai anjuran MINI Brunei bagi para pemilik MINI di Negara Brunei Darussalam di The Horizons Seafood Restaurant di ibu negara.
Acara dimulakan dengan pemanduan beramai-ramai dari QAF Centre ke restoran tersebut yang menyaksikan pelbagai kenderaan MINI menghiasi jalan raya menuju ke ibu negara.
Hadir semasa acara berkenaan ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo, yang turut menyampaikan ucapan serba ringkas.
“Dalam bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik bagi menunjukkan penghargaan kepada para pemilik MINI kerana menjadi sebagai sebahagian daripada keluarga MINI dan berharap ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara kami dengan dengan pelanggan,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan yang secara berterusan menyokong mereka selama ini bagi memastikan MINI Brunei menjadi pengedar kepada kenderaan MINI yang mempunyai warisan yang berkekalan, membawa semangat individualistik lagi penuh berteknologi inovatif.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Haji Ahmad Abdussalam.

