Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MINI Cooper Electric canggih, berinovasi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – MINI Brunei hari ini memperkenalkan model kereta elektrik, MINI Cooper Electric serba baharu pertama untuk pasaran Brunei pada majlis pelancaran di Bilik Pameran MINI Brunei, Perindustrian Beribi II.

    Acara eksklusif itu adalah kerjasama MINI Brunei dengan Standard Chartered (StanChart) bertujuan mencapai penyelesaian automotif yang mampan dan inovatif.

    Semasa majlis, Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo berkata, “Kami berasa bangga untuk bekerjasama dengan StanChart dalam acara eksklusif ini, yang mencerminkan komitmen bersama kami ke arah masa depan yang lebih lestari.

    “MINI Cooper Electric adalah bukti dedikasi kami untuk menggabungkan reka bentuk ikonik dengan teknologi elektrik terkini, dan kami teruja untuk mempersembahkannya kepada pelanggan kami,” kata beliau.

    Acara tersebut memberikan pengunjung pengalaman khas MINI Cooper Electric yang serba baharu, selain berpeluang meneroka ciri-ciri hebat MINI Cooper Electric, termasuk prestasi tanpa emisi, kesalinghubungan maju serta pengalaman memandu yang dinamik.

    Alisa Khoo bergambar ramai bersama MINI Cooper Electric serba baharu pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sempena pelancaran itu, StanChart juga akan menawarkan pakej pinjaman peribadi istimewa khas untuk pelanggan StanChart. Penyelesaian kewangan yang khusus ini direka untuk menyokong pelanggan dalam perjalanan mereka ke arah teknologi mampan dan membuat pilihan yang mesra alam.

    Sementara itu, Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit serta Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Securities, Brenda Low berkata, “Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan MINI dalam acara yang eksklusif ini melalui tawaran pembiayaan khas kami di mana ia memperkukuh lagi komitmen kami terhadap Sifar Bersih dan kelestarian melalui perniagaan, operasi dan perkongsian kami.

    “Dengan inisiatif seperti ini, kami yakin dapat memimpin dalam melestarikan pembangunan dan berharap dapat memperkasa pelanggan kami untuk menerima masa depan yang lebih mampan,” tambahnya.

    Pada acara itu, taklimat juga disampaikan oleh wakil teknikal dari MINI Brunei yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai teknologi-teknologi yang diguna pakai pada MINI Cooper Electric.

    Antara ciri-ciri khas yang terdapat dalam Mini Cooper Electric adalah paparan kluster instrumen bersaiz 5.5 inci yang menawarkan akses lebih lancar ke atas maklumat pemanduan.

    Selain itu, sistem navigasi MINI bersama paparan 8.8 inci menawarkan aplikasi MINI Connected yang lengkap, yang merangkumi Teleservices, servis jarak jauh, panggilan kecemasan pintar, MINI Online dan Apple Car Play. Pemandu juga boleh menikmati muzik berkualiti premium menerusi sistem bunyi 12 pembesar suara Harman Kardon.

    Sebagai sebuah EV, MINI Cooper Electric dilengkapi instrumen digital yang membekalkan pelbagai maklumat penting, termasuk status pengecasan, jarak operasi, suhu luar kenderaan, mod pemanduan semasa dan sebagainya.

    Untuk maklumat lebih lanjut mengenai MINI Cooper Electric tersebut, orang ramai yang berminat bolehlah mengunjungi Bilik Pameran MINI Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda