Saturday, February 8, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mini Ekspo Pertanian & Agrimakanan dirasmikan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2017 bertema ‘Merangsang Produktiviti Melalui Teknologi’ telah membuka tirainya hari ini di Plaza Tengah, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.

    Hadir bagi menyempurnakan perasmian ekspo lima hari itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Yang Berhormat Dato semasa ditemui menyatakan, ekspo berkenaan dapat membantu mencungkil bakat-bakat para individu untuk bertani dengan menggunakan teknologi yang moden.

    Beliau juga menyatakan lagi, pada masa ini, sememangnya tiada ada had bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang pertanian kerana ia terpulang mengikut kemampuan dan kawasan masing-masing.

    Dengan teknologi yang ada masa kini, jelas beliau lagi, orang ramai digalakkan untuk berkunjung ke ekspo berkenaan untuk melihat sendiri bagaimana penggunaan teknologi dapat membantu masyarakat untuk mula terlibat dalam bidang pertanian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para belia yang menceburkan diri dalam perusahaan pertanian dan agrimakanan.
    Yang Berhormat Dato bersama para jemputan semasa perasmian Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2017 di Plaza Tengah, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato semasa meninjau ke petak-petak pameran pertanian dan agrimakanan.

    Antara penanaman sayur-sayuran menggunakan teknologi hidroponik.

    Pada masa yang sama juga, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bekerjasama bersama peladang-peladang yang telah berjaya untuk membuat lawatan ke kampung-kampung dan menyampaikan taklimat berkenaan dengan bagaimana mereka berjaya untuk bertani dengan cara yang lebih kos efektif mengikut kemampuan masing-masing di samping berkongsi pengalaman mereka kepada orang ramai.

    Yang Berhormat Dato menyatakan lagi, setakat ini sambutan penggunaan teknologi berkenaan begitu baik khususnya bagi para peladang muda kerana dapat mempelajari kaedah baru.

    Beliau melahirkan harapan, pada masa akan datang, bidang itu akan dapat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan pertanian organik untuk menghasilkan produk-produk yang lebih selamat tanpa penambahan kimia terhadap para pengguna.

    Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2017 diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan juga diselajurkan dengan sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan yang jatuh pada hari ini.

    Tema ekspo berkenaan adalah selaras dengan salah satu penekanan atau teras utama Pelan Strategik Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan iaitu meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan teknik moden bagi melonjakkan pengeluaran dengan cepat serta membantu mengurangkan unit kos pengeluaran dalam jangka panjang. Ini juga boleh membantu dalam meningkatkan daya saing antarabangsa sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

    Sepanjang ekspo, antara teknologi-teknologi yang dipamerkan termasuk teknologi dalam industri ternakan seperti sistem fidlot, reban ayam tertutup, reban ayam tertutup dan bertingkat serta rumah kambing; teknologi dalam industri tanaman seperti fertigasi, pengairan titis, Light-Emitting Diode (LED), rumah berlindung, hidroponik, sistem menegak; kegiatan kajian mengenai High-Yielding Variety Trial bagi komoditi padi; kajian penerokaan sumber air bawah tanah dan teknologi dalam indutri pemprosesan dan produk tambah-nilai.

    Selain itu, para pengusaha juga mengetengahkan teknologi-teknologi berkenaan yang diguna pakai di ladang-ladang mereka.

    Ekspo mini itu juga diisikan dengan beberapa sesi ceramah, seminar dan taklimat yang berkaitan kepada perkembangan dan penggunaan teknologi-teknologi pertanian yang mana sesi-sesi ceramah tersebut akan menampilkan beberapa orang pengusaha tempatan.

    Antara tajuk-tajuk yang disampaikan adalah Teknologi Pengeluaran Ayam Pedaging; Teknologi Hidroponik; Teknologi Fertigasi; Teknologi Fertigasi; Teknologi Pengeluaran Cendawan; Teknologi Penanaman Menegak dan Teknologi Pengeluaran Secara Organik.

    Majlis pagi tadi turut menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan kepada golongan belia-belia yang menceburkan diri dalam perusahaan pertanian dan agrimakanan di negara ini.

    Melalui penghargaan itu diharap akan dapat menyuntik semangat serta galakan kepada belia-belia di negara ini untuk terus mengorak langkah dan menjadikan perusahaan pertanian dan agrimakanan ini sebagai satu perusahaan yang dapat menjamin pendapatan dan perekonomian yang berdaya tahan.

    Ekspo berkenaan bertujuan untuk mempamerkan sejarah dan kemajuan 50 tahun (1967-2017) industri pertanian di negara ini serta untuk mempamerkan teknologi moden dan terkini bagi peningkatan produktiviti serta pertumbuhan hasil keluaran, termasuklah pameran daripada pembekal-pembekal perkhidmatan yang berkaitan.

    Di samping itu juga, untuk mempromosikan peluang-peluang dalam industri pertanian, penternakan dan agrimakanan serta untuk mengetengahkan pengusaha-pengusaha pertanian, penternakan dan agrimakanan yang progresif dan berdaya maju.

    Ekspo berkenaan dari jam 9 pagi sehingga 6 petang kecuali Jumaat yang bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari dan 2 petang sehingga 6 petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda