BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan anjuran bersama Muara International Fish Landing Sdn Bhd (MIFL) telah mengadakan Mini Karnival Perikanan selama empat hari bermula hari ini hingga 18 Mei di Kompleks Pendaratan Ikan Muara.
Menurut kenyataan Jabatan Perikanan, aktiviti mini karnival itu adalah merupakan salah satu inisiatif dan usaha bagi mendukung para pengusaha perikanan dalam membekalkan hasil produk berkualiti tinggi terus kepada pengguna serta sebagai satu platform bagi para pengusaha berinteraksi langsung dengan orang awam dalam mempromosikan hasil produk mereka.
Usaha tersebut dilihat dapat membantu meningkatkan keupayaan pengusaha dalam menyumbangkan penghasilan dalam pasaran tempatan dan luar negeri.
Seramai 19 pengusaha yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan merangkumi tiga sektor industri iaitu industri tangkapan, akuakultur dan pemprosesan turut serta dalam aktiviti jualan hasil dan produk keluaran masing-masing.
Aktiviti jualan produk-produk perikanan akan bermula jam 8 pagi sehingga jam 4 petang (Khamis hingga Ahad), kecuali hari Jumaat, di mana jualan akan bermula pada jam 8 pagi hingga 11 pagi dan disambung semula pada jam 2 petang hingga 4 petang.
Orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan pelbagai hasil laut segar seperti ikan, udang dan sotong, manakala pengusaha dalam sektor akuakultur akan menawarkan ikan ternakan laut berkualiti tinggi seperti ikan selongsong dan tilapia.
Di samping itu, pengusaha dalam sektor pemprosesan makanan laut pula akan memasarkan pelbagai produk berasaskan hasil perikanan seperti produk ikan beku, tambah nilai, keropok, belacan dan ikan masin.
Acara tersebut terbuka kepada semua pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.