Oleh Sim Y. H.
KUALA BELAIT, 9 NOV – Sebagai usaha untuk menghargai para guru dan pelajar-pelajar, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB, Kuala Belait mengadakan Mini Konvoksyen bagi Tahun 6 Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Kuala Belait yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Majlis yang dikendalikan sepenuhnya oleh PIBG sekolah berkenaan adalah bertujuan sebagai penghargaan kepada guru-guru serta bagi murid- murid Tahun 6 yang menuntut di sekolah itu selama 6 tahun.
Hadir bagi menjayakan majlis berkenaan ialah Yang DiPertua Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha Cawangan Kuala Belait, Haji Hafidzan bin Haji Yahya; guru-guru, ibu bapa dan murid-murid Tahun 6 sekolah berkenaan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Kuala Belait, Cikgu Fazziah binti Haji Kamis merakamkan ucapan terima kasih kepada PIBG sekolah berkenaan atas inisiatif mengadakan majlis serupa itu.
Beliau menekankan bahawa PIGB juga sama-sama memainkan peranan yang penting dalam memastikan kemajuan sekolah dan perkembangan serta kemajuan para murid di sekolah itu.

Dalam hubungan itu, kerjasama antara pihak sekolah dan PIGB adalah amat bermakna dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pengajaran para murid.
Sementara itu, wakil dari PIGB, Dayang Dahalia binti Haji Baharuddin merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan, dedikasi, ketekunam, toleransi, kesungguhan serta kesabaran yang mendalam pada guru dalam mendidik anak-anak mereka di sekolah itu.
“Jasa cikgu-cikgu tetap akan kami kenang sepanjang masa. PIGB juga akan terus memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada pihak sekolah.”




