SEOUL, 16 OKT – Juara bertahan, Minjee Lee, hari ini memberi amaran bahawa Lydia Ko, yang kini dalam prestasi cemerlang, akan menjadi pencabar utama pada Kejohanan BMW Wanita minggu ini ketika Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS) kembali ke Korea Selatan.
Lee, yang berasal dari Australia dan dilahirkan di Perth dengan ibu bapa berketurunan Korea, menewaskan Alison Lee dari AS dalam playoff untuk meraih gelaran tahun lalu. Dia kini kembali bersaing di Seowon Valley Country Club.
Namun, cabaran sengit dijangka datang daripada juara 2022, Ko, yang memenangi pingat emas Olimpik di Paris pada Ogos lalu, sebelum menamatkan kemarau lapan tahun tanpa gelaran utama di Terbuka British Wanita di St Andrews dua minggu kemudian.
Ko, yang berasal dari New Zealand, turut mencatat kemenangan di Kejohanan LPGA Queen City di Los Angeles bulan lalu. Lee menyedari saingan daripada Ko tidak akan mudah ditewaskan minggu ini.
“Saingan sangat sengit, sukar untuk memilih satu pemain sahaja. Namun, Lydia telah mempamerkan prestasi yang hebat sepanjang separuh kedua tahun ini. Dia berada dalam keadaan yang sangat baik,” kata Lee.
Lee turut menjangkakan cabaran sengit daripada Yin Ruoning dari China, yang meraih gelaran LPGA keempatnya di Shanghai minggu lalu, serta Ryu Hae-ran dari Korea Selatan, yang menang di TPC Boston bulan lepas.
Turut bersaing minggu ini ialah pemain nombor dua dunia, Lilia Vu, pemenang dua gelaran utama, Yuka Saso dari Filipina, pemain dari Thailand, Jeeno Thitikul, serta Lauren Coughlin dari Amerika Syarikat.
Walaupun Lee belum memenangi sebarang gelaran pada 2024, dia yakin padang untuk kejohanan 72 lubang tanpa pemotongan itu dalam keadaan lebih baik berbanding tahun lalu.
“Terdapat lebih banyak rumput di hampir setiap green. Ada sedikit kawasan yang kurang sempurna, tetapi secara keseluruhan, green berada dalam keadaan yang sangat baik,” katanya. – AFP