Sunday, February 2, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minoriti Islam Laos sambut Aidiladha secara sederhana, berkumpul di masjid

    VIENTIANE, 29 JUN – Masyarakat minoriti Islam di ibu negara Laos yang terdiri daripada pelbagai etnik menyambut Aidiladha secara sederhana, dengan berkumpul dan bersama mengimarahkan masjid di negara ini pagi ini.

    Dua masjid di Vientiane, iaitu Masjid Azahar dan Masjid Jamia merupakan lokasi umat Islam di sini menunaikan solat sunat Aidiladha, selain mengadakan jamuan Raya, pagi ini.

    Masjid Azahar yang boleh memuatkan sehingga 320 jemaah memulakan solat sunat Aidiladha pada 8.30 pagi, diketuai imam Vina Keobandit, 54, yang berasal daripada Kemboja.

    Masyarakat minoriti Islam di ibu negara Laos yang terdiri daripada pelbagai etnik menyambut Aidiladha dengan sederhana dan berkumpul di masjid di negara itu pagi ini. – Bernama

    Selesai solat, 13 ekor lembu disembelih untuk ibadah korban di pekarangan Masjid Azahar, dengan 10 daripadanya disumbangkan rakyat Malaysia di Laos.

    “Selalunya memang setiap tahun kami akan dapat sumbangan lembu daripada komuniti Malaysia di sini,” kata Vina yang fasih berbahasa Melayu.

    Menurut Vina, kejatuhan nilai matawang Laos Kip berbanding Dolar Amerika Syarikat menyebabkan harga lembu tempatan melambung tahun ini, mencecah sehingga 14 juta Kip (RM3,500) seekor.

    “Selain itu, banyak lembu dibeli secara pukal oleh peniaga dari China dan Vietnam, menyebabkan sukar mendapatkan lembu untuk dibeli bagi ibadah korban kali ini,” katanya kepada Bernama.

    Difahamkan, ibadah korban juga kebiasaannya dilaksanakan di kediaman invividu.

    Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud yang pertama kali menyambut Aidiladha di sini berkata meskipun komuniti Islam di Vientiane adalah kecil, namun kemeriahan tetap dirasai.

    “Memang menarik. Walau komuniti kecil namun kita boleh lihat semangat kerjasama yang sangat tinggi,” katanya.

    Sementara itu, isteri kepada Atase Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Laos, Azmah Ishak yang meraikan Aidiladha keempat di sini berkata sambutan itu dimanfaatkan komuniti di sini untuk berkumpul dan merapatkan jalinan silatulrahim.

    “Inilah peluang kami untuk berkumpul bersama.

    “Selain warga tempatan, komuniti Malaysia daripada kedutaan juga akan sama-sama berkumpul di Masjid Azhar untuk solat sunat dan ibadah korban serta jamuan,” katanya.

    Berkunjung ke rumah keluarga bekas imam masjid bagi jamuan raya selesai solat sunat, merupakan antara tradisi yang diamalkan jemaah Masjid Azahar.

    Antara juadah tradisi Laos yang sering menjadi hidangan buat tetamu Hari Raya di sini adalah Kaopun (laksa Laos), Bankuan (kuetiau gulung), dan Kapokpa (sup ikan dan sayur) serta manisan seperti Foitong dan Alua.

    Terdapat kira-kira 900 umat Islam di Laos daripada keseluruhan tujuh juta populasi negara itu.

    Komuniti Islam di negara ini terdiri daripada pelbagai etnik antaranya Lao, Champa , Tamil dan Pashtun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda