Wednesday, October 23, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minuman air botol atasi kemarau terburuk

    MAMOUDZOU, 2 NOV – Kumpulan pulau Perancis Mayotte akan mula mengagihkan air botol kepada 310,000 penduduknya bulan ini ketika wilayah itu menghadapi episod kemarau terburuk abad ini, kata kerajaan hari ini.

    Gugusan kepulauan Lautan Hindi, wilayah berpendapatan terendah di Perancis dengan kebanyakan penduduk di bawah garis kemiskinan, bergantung kepada hujan untuk air minumannya, tetapi hujan mencecah tahap terendah sejak 1997.

    Menteri Perancis bagi wilayah luar negara, Philippe Vigier memberitahu pemberita setiap penduduk berhak mendapat satu liter air minuman botol setiap hari mulai 20 November.

    Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah, dua liter air sehari dianggap sebagai pengambilan yang mencukupi untuk wanita, dan 2.5 liter untuk lelaki.

    Kepulauan itu telah menghadapi sekatan air yang teruk sejak September dan kerajaan telah pun membekalkan air botol setiap hari kepada 50,000 penduduk yang paling terdedah.

    Prasekolah dan sekolah rendah akan menjadi yang pertama mendapat manfaat daripada penghantaran air tambahan.

    Keperluan air harian Mayotte dianggarkan sekitar 43,000 meter padu, tetapi bekalan pada masa ini berkurangan kepada 26,000 secara purata.

    Ia akan turun kepada atau di bawah 20,000 meter padu setiap hari apabila baki simpanan di tasik buatan Mayotte kehabisan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda