ISTANBUL, 18 FEB – Kira-kira 124 orang maut di Ankara dan Istanbul dalam tempoh enam minggu lalu selepas meminum alkohol tiruan, dan berpuluh-puluh lagi berada dalam unit rawatan rapi, kata agensi berita Anadolu kelmarin.
Kira-kira 54 orang telah meninggal dunia di ibu negara Ankara, di mana 40 lagi bertarung nyawa di hospital, katanya.
Awal bulan ini, Anadolu berkata 70 yang lain telah meninggal dunia di Istanbul.
Kejadian keracunan seperti itu sering berlaku di Turkiye, di mana pengeluarannya yang dilakukan secara rahsia amat berleluasa dan alkohol tiruan sering dicemari dengan metanol, bahan toksik yang boleh menyebabkan buta, kerosakan hati dan kematian.
Pejabat ketua pendakwa raya di Ankara telah menahan 28 suspek berkaitan pengeluaran dan penjualan alkohol tiruan, yang mana kesemuanya kecuali tiga daripadanya telah diberikan pembebasan dengan syarat, kata Anadolu.
Pada 7 Februari, Gabenor Ankara telah memberikan angka kematian berjumlah 33 orang dan 20 yang lain dalam unit rawatan rapi, dengan jurucakap pejabatnya berkata ia adalah berdasarkan angka yang diperoleh dari awal tahun.
Bulan lalu, 38 orang maut dalam tempoh empat hari di Istanbul selepas meminum alkohol tiruan dalam lonjakan kes yang sehingga 17 Januari, menyaksikan 26 orang lagi berada dalam unit rawatan rapi.
Tiada kemas kini rasmi selama tiga minggu lagi sehingga 7 Februari apabila Anadolu berkata jumlah kematian meningkat kepada 70, dengan 21 lagi dirawat di hospital, lapan daripadanya berada dalam unit rawatan rapi. – AFP
