Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sebuah syarikat perniagaan di Daerah Temburong, Syarikat Seri Jasa, telah dikeluarkan notis amaran kerana menjual minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Minyak masak adalah salah satu senarai barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Dapatan itu adalah hasil operasi bersepadu bulanan yang dijalankan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi ke atas beberapa buah premis perniagaan di Daerah Temburong, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hasil daripada operasi tersebut, lima unit alat sukatan dan timbangan digunakan bagi tujuan perdagangan, dan kesemuanya adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).
Premis perniagaan yang dibuat pemeriksaan mengejut adalah Syarikat Ampuan Mohd Yoslan bin Ampuan Haji Akop dan Anak-Anak, Syarikat Lakujaya Minimart, Syarikat Associated Agencies (B) Company dan Syarikat Seri Jasa.
Para pengguna alat sukatan dan timbangan dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isi padu, ukur panjang dan lebar, alat-alat tersebut mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh
Unit SDT.
