Pelakon Mira Filzah tidak terfikir untuk mengetengahkan anak lelakinya, Wan Khair Amir Wan Emir Astar dalam dunia hiburan meskipun ada tawaran diberikan.
Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, berkata, tawaran iklan komersial yang diterima sebelum ini juga ditapis terlebih dahulu agar tidak menganggu pembesaran anak damit berusia tujuh bulan.
“Mira suka kongsi perkembangan Amir di media sosial sebab kadang-kadang ada iklan komersial yang memerlukan Amir bersama.
“Buat masa sekarang kalau ada tawaran lain seperti berlakon memang Mira dan suami tak terima sebab anak pun masih kecil, jadi takut dia penat dan menganggu proses pembesarannya,” katanya kepada mStar.
Mira berkongsi mengenai perkembangan anaknya itu ketika ditemui pada majlis RR Empire Program yang diadakan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada acara tersebut, Mira dipilih sebagai muse bagi salah satu koleksi tudung RR-Riverra Scarves oleh RR Empire yang dinaungi pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini memberitahu bakal kembali aktif sebagai pelakon tahun depan.
Kata Mira, dia mula merindui dunia lakonan selepas banyak memberi tumpuan kepada projek sebagai duta produk sepanjang tahun ini.
“Insya-Allah tahun depan Mira akan berlakon semula sebab dah mula rasa rindu, apatah lagi tahun ini memang sibuk dengan kerja-kerja duta produk dan sebagainya.
“Impian tahun depan nak explore lebih mendalami lagi bidang lakonan dan cuba watak baharu bagi memperbaiki diri,” katanya. – Agensi