Sebelum ini ramai mengatakan wajah Juara Dewi Remaja 2022 iaitu Tracie Sinidol mirip dengan pelakon Mira Filzah sehingga dia menjadi perhatian ramai.
Tidak menyangkal hal berkenaan, Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, menyifatkan Tracie adalah ‘kembarnya’ yang telah lama terpisah.
Malah perkara itu turut dipersetujui oleh pengikutnya apabila Mira memuat naik foto bersama Tracie, 22, di Instagram miliknya yang memperlihatkan persamaan yang dimiliki mereka berdua. “Akhirnya saya berjumpa dengan kembar saya yang telah lama hilang,” katanya menerusi kapsyen foto tersebut.
Dalam pada itu, peminat yang teruja melihat kedua-dua selebriti jelita itu dalam gambar sama mengakui persamaan yang terdapat di antara Mira dan Tracie yang tidak ubah seperti pasangan kembar. Malah ada mencadangkan agar Mira dan Tracie bergambar bersama seorang lagi selebriti iaitu Qasrina Karim yang turut dikatakan mirip dengan aktres berkenaan.
“Kenapa sama sangat ni. Lesung pipit pun sama. Yang ini baru betul-betul sama,” komen warganet.
Sebelum ini, Tracie pernah memberitahu dia enggan dibayangi oleh Mira sebaliknya mahu berdiri atas bakat sendiri.
“Saya sudah mencipta satu lagi title yang baharu (Juara Dewi Remaja), jadi berhentilah cakap saya ini Mira Filzah,” katanya. – Agensi