Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-64, Mira Filzah dan kira-kira 100 ahli kelab peminatnya, Miraclegacy bertemu secara maya bagi mengubat rindu.
Mengeratkan ukhwah sesama mereka, acara Miraclegacy Virtual Merdeka membolehkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu bertanya khabar peminat biarpun tidak dapat bersemuka secara fizikal.
Seiring slogan Miraclegacy iaitu ‘Together We Strong’ pertemuan bermula jam 4 petang semalam, cukup bermakna buat ahli kelab apatah lagi dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan, esok.
Mira berkata, penularan pandemik COVID-19 membataskan usaha untuk bertemu peminat dengan lebih kerap.
“Selama kita dilanda pandemik COVID-19, jika perlu berkomunikasi dengan ahli jawatankuasa (AJK) kelab, kami lakukan secara virtual.

“Kali terakhir berjumpa beberapa AJK adalah pada sambutan ulang tahun kelahiran saya yang ke-28, April lalu.
“Namun, majlis besar-besaran bersama semua ahli kelab sudah lama tidak dapat dianjurkan. Tahun lalu kami tidak sempat anjurkan majlis kerana penularan COVID-19 yang tidak terkawal,” katanya kepada media.
Justeru, inisiatif dianjurkan kelab pada pertemuan semalam, disambut baik isteri kepada Wan Emir Astar itu.
“Biarpun tidak dibuka secara meluas sebaliknya kepada ahli yang mendaftar melalui aplikasi Telegram, majlis dapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Mira teruja bertemu peminat apatah lagi dalam keadaan sekarang apabila semua pihak diuji impak penularan pandemik COVID-19.
“Memang rindu hendak buat acara berkumpul seperti majlis sambutan Aidilfitri, acara sukan dan sebagainya.
“Namun, apakan daya, situasi semasa tidak mengizinkan. Jadi, melalui pertemuan virtual, kita masih terus dapat berhubung biarpun jauh di mata.
“Kita terus eratkan silaturahim dalam kekangan. Hendak menunggu bila majlis sosial boleh dianjurkan, kita pun tidak tahu,” katanya.
Dalam acara virtual itu, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti kuiz Merdeka, fesyen patriotik dan ‘Battle Pantun’. Acara diakhiri dengan laungan merdeka beramai-ramai. – Agensi