Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mirabel beraksi kali pertama di LPGA menerusi jemputan Kejohanan Maybank

    KUALA LUMPUR, 2 OKT – Pemain golf amatur wanita terbaik Malaysia, Mirabel Ting mendapat peluang untuk beraksi dengan pemain ternama dunia dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) selepas menerima jemputan penaja untuk menyertai Kejohanan Golf Maybank 2024.

    Atlet berusia 19 tahun yang berasal dari Sarawak itu bersama pemain golf wanita profesional terkemuka Malaysia, Ashley Lau dan duta ASEAN Maybank Kelly Tan menerima jemputan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang bakal berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) dari 24 hingga 27 Oktober ini.

    Selain ketiga-tiga mereka, pemain profesional Liyana Durisic dan Durriyah Damian yang berjaya meraih tempat menerusi Kelayakan ASEAN pada Ogos lepas akan melengkapkan cabaran Malaysia dalam kejohanan bernilai US$3 juta (kira-kira RM12.5 juta) itu.

    Mirabel berkata dia sangat gembira kerana berpeluang beraksi dalam Jelajah LPGA buat kali pertama yang merupakan antara impian zaman kanak-kanaknya.

    “Ia adalah impian saya sejak kecil dan untuk peluang ini muncul secepat ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya hanya mahu pergi ke sana dan bersaing dengan pemain terbaik dunia, belajar daripada mereka pada minggu berkenaan dan selebihnya kita lihat apa yang akan berlaku.

    “Saya pernah bermain di West Course KLGCC sebelum ini, lapangan ini panjang dengan banyak fairway bunker. Susun aturnya memerlukan pengurusan lapangan yang baik supaya dapat menunjukkan prestasi yang mantap,” katanya dalam kenyataan penganjur. – Bernama

    Antara aksi Mirabel semasa acara golf individu wanita di Kelab Golf Sarawak, Petra Jaya, baru-baru ini.– Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda