Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Syarikat GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama Mitsubishi di negara ini telah melancarkan Mitsubishi Mirage MY17 serba baru bagi pasaran di negara ini dalam majlis yang berlangsung di Bilik Pameran Mitsubishi, Beribi, di sini, hari ini.
Hadir bagi melancarkan model tersebut ialah Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Pengerusi GHK Motors, Pengiran Dato Shariffuddin bin Pengiran Haji Matali yang turut disaksikan oleh pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada pelanggan setia GHK Motors dan para jemputan.
Kereta hatchback buatan Jepun ini telah dijual lebih 800 unit oleh GHK Motors sejak ia dilancarkan pada tahun 2012. Mirage juga terbukti sebuah kereta jimat bahan bakar dengan jualan terbaik dalam pasaran segmen-B.
Mitsubishi Mirage MY17 membuat penambahbaikan dari segi reka bentuk luar, prestasi dan ruang dalaman yang lebih selesa. Kereta tersebut juga bertambah baik dari segi kualiti sementara mengekalkan konsep ‘penjimatan minyak’.
Mitsubishi Mirage terbaru ini juga diberi perubahan wajah depan terutama pada bahagian bonet depan, gril, bampar depan dan belakang, lampu kabus dan tayar aloi rekaan terbaru 14 inci.

Selain itu, rekaan bentuk luar yang direka secara aerodinamik, mampu memaksimumkan penjimatan minyak dan bentuk ringkas dan terkawal membantu untuk mengurangkan berat kereta, menghasilkan sebuah kereta yang seimbang.
Ia juga menerima penambahbaikan reka bentuk di bahagian dalaman dengan fabrik kerusi baru dan keluasan yang mampu memuatkan lima orang penumpang dewasa.
Mitsubishi Mirage yang juga terkenal dengan harga berpatutan di seluruh dunia itu mempunyai kuasa enjin MIVEC 1.2 liter dengan transmisi 5-kelajuan CVT automatik atau pilihan transmisi manual.
Antara ciri-ciri keselamatan yang dilengkapi dalam model terbaru Mirage ini ialah sistem dua beg udara; anti-lock braking system (ABS) dengan electronic brake distribution (EBD); tali pinggang keledar dengan pra-ketegangan dan daya pengehad di depan; Immobilizer dan badan rangka teknologi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE) yang memberikan perlindungan kuat di ruang kabin jika berlakunya kemalangan.