Isnin, Julai 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Miri FA terus kukuh di puncak liga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pasukan Miri FA terus mengukuhkan kedudukannya di puncak Liga Bola Sepak jemputan merebut Piala Lela Cheteria selepas menewaskan pasukan Gergasi FC dengan jaringan 4-2 di Padang dan Belapan, Berakas, kelmarin.

    Ketua Jurulatih Miri FA, Ismail Lumut ketika mengulas mengenai perlawanan berkenaan, menyatakan bahawa pasukan kendaliannya berjaya merebut peluang yang terhidang untuk mencipta jaringan terutama pada babak pertama dengan kelebihan tiga jaringan tanpa balas.

    “Sekalipun pasukan lawan bangkit dibabak kedua namun pemain-pemain sudah bersedia menghalang kebangkitan itu sehingga tamat perlawanan”, tambahnya lagi.

    Pasukan Miri FA membuka jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan Alexster Ak Jadam dan Md Afiq Haziq yang mengambil kesempatan kesilapan penjaga gol Gergasi FC pada minit ke-19 ketika suasana kelam kebut di depan gawang.

    Penyokong Miri FA terus berpesta apabila Charles Ajang Engan berjaya menambah jaringan untuk Miri FA di minit ke-27 menjadikan kedudukan 3-0.

    Pasukan Gergasi FC kemudian, merubah rentak permainan dengan menukar posisi beberapa orang pemain untuk menggandakan serangan dalam misi mencari jaringan penyuntik semangat dan Abiodun Fatai yang sentiasa dikawal rapi pertahanan Miri FA bijak mencipta jaringan sulung pada minit ke-51.

    Ketika anak buah Haji Rosanan Samak ghairah menambah jaringan,  Ahnaf Danish Farihin bijak menggunakan kesempatan dengan larian solo untuk jaringan pasukan Miri FA pada minit ke-82.

    Jaringan kedua Abiodun Fatai pada masa kecederaan bagaimanapun sudah terlambat dan terpaksa akur dengan kekalahan 2-4.

    Pengurus Pasukan Gergasi FC, Ermaheidi Jailani berkata, “Kita akur dengan kekalahan ini. Pasukan lawan bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain-pemain terutama di babak pertama sehingga mereka berjaya memperoleh kelebihan jaringan.” Beliau menjelaskan bahawa kebangkitan pasukan Gergasi di babak kedua berjaya merubah rentak perlawanan namun pasukan lawan bijak mempertahankan kelebihan jaringan dan seterusnya memenangi perlawanan.

    Caption for pics:

    Miri 1,2,3&4- 

    Semua di atas: Antara aksi menarik semasa Pasukan Miri FA menentang Gergasi FC.  – Gambar serahan Liga Bola Sepak Jemputan merebut Piala Lela Cheteria

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda