Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Mesyuarat rasmi Persatuan Bola sepak Bahagian Miri (2009) dengan Yakin Football League (YFL) telah mengembangkan lagi peluang kedua buah pihak dalam memajukan sukan bola sepak yang memberi manfaat kepada pemain-pemain tempatan dan negara jiran, Miri.
“YFL mempunyai misi yang besar dalam perkembangan bola sepak di negara ini dan mesyuarat ini menjadi platform terbaik untuk merintis jalan ke arah menjalin kolaborasi merancang kejohanan-kejohanan bola sepak,” jelas Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang pada Mesyuarat Rasmi di antara Persatuan Bola sepak Bahagian Miri (2009) Miri FA dengan YFL di sebuah hotel di Miri, Sarawak, baru-baru ini.
Menurutnya, perjumpaan berkenaan memberi peluang kedua belah pihak bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman penyelenggaraan di samping pengurusan kejohanan yang dikendalikan sebelum ini.
“Kita telah berhasil membuka jalan yang berharga untuk memberikan manfaat kepada kedua buah pihak dalam sama-sama memajukan bola sepak bagi negara berjiran ini. Saya yakin dengan persefahaman dan bermuafakat bersama, rancangan-rancangan jangka pendek dan panjang akan dapat diungkayahkan nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Miri FA, Mohd Saif Haji Jubaidi pula menyambut baik usaha murni YFL dalam usaha perkembangan bola sepak negara berjiran.
Menurutnya, kerjasama strategik YFL dan Persatuan Bola sepak Bahagian Miri (2009) mampu membina ekosistem bola sepak dan futsal berstruktur dari akar umbi hingga ke peringkat elit.
“Perjumpaan ini menjadi lembaran baru kepada melahirkan bakat-bakat baru yang terurus dengan sokongan tenaga pengadil dan jurulatih bertauliah di samping mengangkat Miri serta kepulauan Borneo sebagai pusat pembangunan bola sepak dan futsal serantau di Malaysia dan rantau Nusantara,” jelasnya.
Antara skop yang menarik perhatian kedua belah pihak termasuklah kerjasama penganjuran liga bola sepak dan futsal; kolaborasi penganjuran kursus pengadil dan jurulatih; promosi dan membangunkan pasaran kedua belah pihak.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yakin Football League, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey.

