Mirugasirisham: The Orion, sebuah filem seram-komedi Tamil Malaysia melakar nama dalam sejarah perfileman tempatan sebagai filem Tamil pertama menampilkan teknologi audio Dolby Atmos.
Filem arahan Vijay Ganesh dan diterbitkan oleh Dr Sai Suthan Krishnan di bawah Fivestar AV itu mengisahkan sebuah keluarga yang terperangkap dalam jaringan misteri paranormal. Dalam usaha merungkai misteri tersebut, mereka mendapatkan bantuan seorang guru spiritual yang dilakonkan sendiri oleh Vijay.
Filem itu mula ditayangkan di seluruh negara pada 19 Jun lalu dalam format 2D dan 2D Atmos.
“Mirugasirisham mewakili komitmen kami untuk mengangkat penceritaan tempatan melalui inovasi teknologi dan lakonan sepenuh jiwa,” kata Vijay kepada Bernama selepas menghadiri sesi prarakaman rancangan bual bicara Berita Tamil Bernama, ‘Paarvai’, di Wisma Bernama, di sini baru-baru ini.
Filem itu dibintangi oleh Joshua Shashi Kumar, Jegan Shanmugam, Nirmala Tharmarajan, Kumari dan Komalaa Naaidu, dengan muzik gubahan Shane Xtreme.
Ditayangkan dengan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris bagi meluaskan capaian penonton, Mirugasirisham mencetuskan reaksi positif di media sosial, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap filem Tamil tempatan.
Di sebalik momentum yang dijana, Vijay berkata filem tempatan masih berdepan cabaran kehadiran penonton di pawagam dengan sebahagiannya berpunca daripada kos tiket yang secara puratanya berharga RM20.
“Bagi kebanyakan keluarga, khususnya B40, menonton wayang ialah satu aktiviti yang boleh membebankan kewangan keluarga. Kami percaya penurunan harga tiket boleh membantu menarik lebih ramai penonton untuk menyokong filem tempatan,” katanya. – Bernama
