KUALA LUMPUR, 20 OGOS – Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek telah menerima sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara setelah berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), baru-baru ini.
Tanpa mendedahkan senarai negara yang cuba memancingnya, Misbun berkata antara yang berminat mendapatkan khidmatnya itu dari negara jiran, manakala terdapat juga tawaran baginya untuk membimbing skuad senior.
“Sebenarnya dari dulu lagi sudah ada (tawaran) malah dalam beberapa minggu lalu setelah mereka tahu saya telah diberhentikan, namun saya mahu rehat dahulu.
“Kesemuanya bergantung kepada syarat tertentu yang saya letakkan, jika mereka setuju baru saya terima,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Misbun, yang memerlukan masa memikirkan tawaran diterimanya berkata buat masa ini, beliau akan memberi tumpuan terlebih dahulu dalam aspek pembangunan akar umbi di Kelab Badminton Nusa Mahsuri, yang diterajui beliau dan adik-beradiknya.
Misbun memberi bayangan beliau tertarik melatih pemain Thailand, Singapura dan Eropah, memandangkan pemain mereka mempunyai potensi untuk mara lebih jauh.
“Berdasarkan tawaran diterima, terdapat pemain mereka yang menduduki 10 terbaik,” katanya sambil mengharapkan sentuhannya di luar nanti mampu melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia. – Bernama


