Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misbun terkilan, berpisah dengan BAM

    KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek mendakwa beliau tidak pernah mencapai persetujuan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk berpisah, baru-baru ini.

    Misbun berkata, beliau sememangnya terkilan memandangkan ianya bercanggah dengan apa yang dimaklumkan BAM kepada media Jumaat lalu.

    “Semua keputusan sudah dibuat jadi saya hanya buat sidang akhbar ini untuk memperbetulkan kenyataan (BAM) bahawa di luar saya terima keputusan ini padahal tidak.

    “Ini kerana ia tak diulas dan dibentang secara tersusun serta baiknya,ketika mesyuarat tempoh hari saya hanya bentangkan post mortem (kegagalan Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia) dan disuruh keluar seketika namun ketika saya masuk kembali, saya diberhentikan,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Jumaat lalu, jawatankuasa khas diketuai Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam pada satu sidang media memaklumkan mereka dan Misbun bersetuju secara bersama untuk berpisah.

    Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan terhadap BAM, Misbun mengakui tidak mempunyai kuasa untuk membuat demikian dan hanya akur dengan keputusan tersebut.

    Beliau juga turut hampa tidak dapat meneruskan khidmatnya membimbing skuad remaja Malaysia pada Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober ini. – Bernama

    Datuk Misbun Sidek (kiri) ketika ditemui pada sidang media berikutan penamatan kontraknya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda