Penyanyi Misha Omar mencuri perhatian penonton apabila ligat menari atas pentas ketika menjayakan showcase istimewa, Misha Omar Back To Basic di Odeum at Jiospace, baru-baru ini.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah@Aisah Omar, 42, mengundang sorakan penonton apabila menari lincah ketika menyanyikan lagu Oops! I Did It Again dan Bye Bye Bye yang dipopularkan oleh Britney Spears dan NSYNC secara mashup.
Lebih menghangatkan suasana apabila Misha turut meniru gaya sensual kumpulan Dolla tatkala menyampaikan lagu Impikan sambil diiringi penari.
Mengulas perkara itu, Misha mengakui, dia mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini, lapor BH Online.
“Sebenarnya, saya tak nafikan saya seorang penyanyi paling malas bergerak. Saya belajar (menari) hanya tiga kelas dan setiap sesi memakan masa 40 minit sahaja memandangkan agak sibuk sedikit hujung tahun.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk si ketam tua jalan kiri kanan depan belakang. Memang sukar pada mulanya, tapi saya suka.
“Orang tak tahu mereka berusia 40an juga suka Dolla. Lirik lagu mereka juga bagus sekali dan sangat memberi inspirasi. Jadi, saya cubalah,” katanya pada sidang media selepas showcase berakhir.
Pada showcase dihadiri kira-kira 2,000 penonton, Misha menyanyikan 14 lagu termasuk himpunan lagu popularnya seperti Cinta Adam dan Hawa, Dedebu Cinta, Tiada Ruang Untukmu, Tiada Aku Mengerti, Pulangkan, Ku Seru, Masihkah Ada Rasa itu, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila sebelum menutup tirai konsert dengan Semoga Abadi.
Turut dinyanyikan adalah lagu popular dari penyanyi Indonesia seperti Badai Telah Berlalu, Sialan dan Kupu-Kupu.
Pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu turut memberikan penghargaan kepada tiga penyanyi muda dengan menyanyikan lagu popular mereka. – Agensi