Misha Omar henti rawatan kesuburan

Demi menjaga reputasi dan mengutamakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya, penyanyi Misha Omar sanggup menghentikan rawatan kesuburan bagi mendapatkan cahaya mata kedua.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, berkata keputusan itu dibuat kerana bimbang sekiranya dia tidak dapat melakukan persembahan terbaik dalam keadaan dirinya sedang hamil.

“Saya dapat tawaran untuk konsert sekitar bulan April tapi ketika itu tak tahu jadi ke tak sebabkan PKP. Bila PKP dan tak dibenarkan sebarang aktiviti seni, saya pun teruskan dengan buat rawatan kesuburan untuk dapatkan zuriat.

“Ikutkan rawatan tersebut dah separuh jalan pun tapi tiba-tiba dapat tahu konsert dah boleh diadakan. Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti rawatan bagi memberi tumpuan kepada konsert tersebut.

“Saya tak risau fasal mengandung cuma ia melibatkan reputasi saya. Kalau saya mengandung dan boleh menyanyi, tak apa la… tapi fasa hamil setiap wanita berbeza. Mana tahu, saya mengandung tapi tak boleh nak menyanyi.

Misha Omar sanggup menghentikan rawatan kesuburan kerana bimbang sekiranya dia tidak dapat melakukan persembahan terbaik dalam keadaan dirinya sedang hamil. – Agensi

“Takut saya menghampakan peminat pula. Jadi, saya tak nak ambil risiko teruskan rawatan. Saya ada beritahu doktor untuk tangguh dahulu rawatan tersebut dan dia pun kata terpulang pada saya,” katanya kepada wartawan.

Menerusi laporan wartawan pada Jun lalu, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini memberitahu dia sudah melakukan ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) bagi mengetahui tahap kesuburan penyanyi tersebut sebelum meneruskan rawatan yang sesuai.

Selain itu, menyedari mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan keputusannya mengenepikan soal hamil, Misha ada jawapannya.

“Kita ada pilihan dalam hidup. Ia adalah okey untuk memilih. Dalam hidup saya memang banyak senario begini. Kadang saya kena berhenti, kadang saya perlu teruskan.

“Tetapi cukuplah orang tahu bahawa saya tidak pernah buat separuh hati,”katanya. – Agensi